Showing posts with label terengganu. Show all posts
Showing posts with label terengganu. Show all posts

Friday, March 13, 2009

Projek mewah tidak dihenti

KUALA TERENGGANU - Menteri Besar, Datuk Ahmad Said menafikan kerajaan negeri mengabaikan projek pembangunan di daerah Besut selepas mengambil alih pemerintahan Terengganu daripada mantan Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh.

:Menurut Ahmad, beliau tidak pernah menyisihkan Besut dalam merancang pembangunan sebagaimana didakwa sesetengah pihak sebaliknya meluluskan peruntukan yang lebih besar kepadanya berbanding daerah-daerah lain di negeri ini.

:Beliau berkata, kawasan Besut mendapat peruntukan tinggi iaitu lebih RM800 juta untuk meneruskan projek-projek mega yang ada di daerah tersebut sehingga siap sepenuhnya walaupun Idris tidak lagi menjadi pemimpin nombor satu Terengganu.

:Katanya, antara projek berkenaan ialah Taman Ilmu berjumlah RM410 juta, Universiti Darul Iman Malaysia (UDM) berjumlah RM250 juta, Jertih Souq (RM45 juta), Sekolah Imtiaz (RM145 juta) dan juga Masjid Hadhari.

:“Ini memang projek lama tapi saya masih sambung dan peruntukannya termasuk dalam belanjawan 2009. Kalau saya tak bayar, projek ini akan terbengkalai begitu saja, jadi saya kena keluarkan belanja teruskan projek.

:“Kalau orang kata saya ketepikan Besut itu tidak betul. Kalau tinggal, projek di Besut tidak akan siap,” katanya kepada pemberita dalam sidang media menjelang satu tahun pemerintahannya sebagai Menteri Besar di Wisma Darul Iman, semalam.

:Ahmad memakumkan daerah lain di negeri ini tidak mendapat jumlah peruntukan sebegitu besar seperti disalurkan kepada kawasan Besut termasuk ibu negeri Terengganu, Bandaraya Kuala Terengganu sendiri.

:Menurut Ahmad, beliau sendiri sedih melihat keadaan Kuala Terengganu yang masih mempunyai rumah buruk tidak terurus dan keadaan tersebut hakikatnya jauh ketinggalan berbanding daerah lain di negeri ini.

:“Apa yang ada di Kuala Terengganu sebagai ibu negeri dalam tempoh lima tahun? Apa perancangan di Kuala Terengganu? Saya ma-lu bila masuk kampung tengok rumah buruk, robek, ia menyedihkan,” katanya.

:Ahmad yang juga Pengerusi UMNO Terengganu turut menolak tanggapan bahawa beliau ‘takut’ untuk ke Besut dan berhadapan dengan penyokong Idris sebaliknya beliau jarang ke daerah itu kerana tidak mempunyai program perlu dihadirinya.

:“Pada 1 hari bulan depan kita adakan mesyuarat Exco di Besut. Saya boleh pergi (ke Besut) tapi mereka (penduduk) tidak ada program untuk dihadiri,” katanya.

Wang royalti Petronas dua minggu lagi

KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri dijangka memperoleh kembali wang royalti minyak Petronas sebagaimana dijanjikan oleh kerajaan Persekutuan sebelum ini selewat-lewatnya dua minggu lagi.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, beliau tidak tahu jumlah sebenar royalti yang akan diterima kerana harga bahan mentah tersebut di pasaran sekarang tidak menentu dan sentiasa berubah-ubah.

Menurutnya, berdasarkan perkiraan yang dilakukan ketika harga minyak stabil di pasaran iaitu AS$60 setong, kerajaan negeri dijangka memperoleh kira-kira RM1.5 bilion dan jumlah itu dimasukkan ke dalam bajet negeri.

“Harga minyak sekarang sentiasa turun, susah untuk kita buat perkiraan berapa jumlah sebenarnya yang kita akan dapat, masa buat bajet dulu nilainya sekitar AS$60 sekarang dah AS$40 setong,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam satu sidang akhbar menjelang setahun pentadbirannya sebagai Menteri Besar Terengganu yang diadakan di pejabatnya, Wisma Darul Iman, di sini, semalam.

Ahmad memberitahu, penyerahan semua wang royalti minyak menjadi satu cabaran kepada kerajaan negeri kerana segala pembangunan Terengganu perlu dirancang sendiri tanpa perlu berharap kepada kerajaan Pusat.

“Apabila kerajaan Pusat bersetuju mengembalikan royalti ke pangkuan kerajaan negeri ia bermakna tak ada lagi peruntukan dana khas, kita perlu lakukan segala perancangan dan pembangunan berasaskan bajet tahunan,” katanya.