Saturday, December 13, 2008

Kerajaan Setuju Cadangan Penubuhan TIA Oleh Terengganu, Kata Najib

KUALA TERENGGANU, 13 Dis (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan secara prinsipnya bersetuju dengan cadangan kerajaan negeri Terengganu menubuhkan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) dengan dana permulaan bernilai RM10 bilion.

Timbalan Perdana Menteri berkata persetujuan itu dicapai pada mesyuarat Kabinet semalam, yang menggambarkan kerjasama erat kerajaan pusat dan kerajaan negeri Terengganu bagi menjamin masa depan rakyat negeri berkenaan.

"Pada prinsipnya, cadangan ini telah pun diluluskan oleh jemaah menteri pada mesyuarat semalam," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan bayaran royalti minyak separuh kedua 2008 di Stadium Negeri di sini hari ini.

Pada majlis itu, Najib yang juga Menteri Kewangan menyerahkan cek bayaran royalti minyak berjumlah RM408.6 juta kepada Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said.

Turut hadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Tan Sri Muhammad Muhd Taib, Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek dan Ketua Wanita Umno Tan Sri Rafidah Aziz.

Najib berkata penubuhan TIA yang diilhamkan oleh Yang di- Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin, adalah bagi menjana pertumbuhan ekonomi mampan serta menjamin pembangunan negeri secara berterusan.

"Perincian (cadangan penubuhan TIA) serta beberapa aspek serta struktur pentadbiran dan perjalanan TIA akan kita bincang bila kertas sebenarnya dibawa dalam mesyuarat jemaah menteri," katanya.

TIA akan beroperasi sebagai satu "dana kekayaan" bagi Terengganu bertujuan mengurus pelaburan negeri bagi menghasilkan pulangan jangka panjang daripada segi ekonomi kepada rakyat negeri itu dan Malaysia amnya.

Mengulas lanjut, Najib berkata dana RM10 bilion itu akan diperoleh daripada pasaran bon daripada royalti minyak dengan kerajaan negeri Terengganu akan membuat pelaburan yang sebahagian besar dilakukan di luar negeri itu.

Beliau berkata langkah kerajaan negeri Terengganu itu adalah bagi menjamin kelangsungan pendapatan negeri itu pada masa depan kerana minyak sebagai sumber hasilnya mempunyai jangka hayat tertentu.

"Seandainya minyak pupus (habis), Terengganu dengan langkah ini akan dapat punca pendapatan tambahan," katanya.

Ketika berucap, Najib berkata jemaah menteri berpendapat royalti minyak itu perlu diserahkan sepenuhnya kepada kerajaan negeri Terengganu dalam menguruskan serta melaksanakan pelbagai program pembangunan di negeri berkenaan.

"Saya harap wang royalti minyak ini digunakan secara baik untuk melaksanakan pembangunan dan pembaharuan. Kita mahu rakyat Terengganu miskin dan kemiskinan tegar dihapuskan. Kita mahu kerancakan ekonomi di Terengganu berterusan," katanya.

Ditanya sama ada kerajaan pusat akan mengurangkan peruntukan untuk pembangunan setelah wang royalti minyak dikembalikan semula kepada Terengganu, Najib berkata perkara itu akan bergantung kepada beberapa kriteria.

Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan pusat akan melihat kepada kemajuan, pendapatan perkapita dan sebagainya di negeri itu, sebelum menentukan peruntukan bagi tujuan tersebut.

Beliau berkata jumlah pembayaran royalti sebanyak RM408.6 juta itu dibuat setelah kerajaan pusat menolak segala peruntukan kepada kerajaan negeri Terengganu untuk projek pembangunan di negeri berkenaan, sebelum ini.

"Ini untuk akaun 2007/2008. Kita tutup semuanya apa yang kita hutang kepada kerajaan negeri (Terengganu), ia dianggap sudah selesai. (Jumlah) ini juga daripada surat yang saya terima daripada Menteri Besar," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment