Saturday, March 21, 2009

RM1.4 Juta Untuk Bina Kedai Dan Parit Di Batu Rakit

March 21, 2009 18:16 PM

RM1.4 Juta Untuk Bina Kedai Dan Parit Di Batu Rakit

KUALA TERENGGANU, 21 Mac (Bernama) -- Kerajaan negeri memperuntukkan RM1.4 juta bagi membina rumah kedai dan sistem perparitan di Kampung Maras dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Batu Rakit dekat sini tahun ini, kata Menteri Besar Datuk Ahmad Said.

Beliau berkata, daripada jumlah itu sebanyak RM1.2 juta ialah bagi membina rumah kedai empat pintu dua tingkat manakala RM200,000 lagi untuk membina sistem perparitan.

Ahmad hari ini menyampaikan 79 geran tanah, 70 untuk lot tapak rumah dan sembilan bagi lot tanah pertanian, di Kampung Maras.

Seramai 69 orang turut menerima surat kelulusan untuk berniaga di pasar baru di kampung itu.

-- BERNAMA


Friday, March 20, 2009

Kelemahan, kecacatan Masjid Hadhari akan dibaik pulih

JERTIH – Beberapa kelemahan dan kecacatan Masjid Bandar Jertih yang lebih dikenali sebagai Masjid Hadhari akan dibaik pulih secepat mungkin dalam tempoh setahun selepas ia diserahkan dengan menggunakan peruntukan sedia ada.

:Pegawai Agama Daerah, Nik Zulhaiza Ismail berkata, perkara itu telah dimaklumkan sendiri Timbalan Pengarah Kerja Raya Negeri, Ir Ghazali Hashim ketika majlis penyerahan masjid berkenaan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT).

:Sebelum ini ada rungutan daripada orang ramai mengenai beberapa masalah yang belum sempurna pada masjid tersebut.

:Pada upacara penyerahan yang berlangsung di masjid itu baru-baru ini, JKR negeri diwakili Ghazali manakala JHEAT diwakili Pesuruhjaya Agama Negeri, Che Kamaruddin Mohamad.

:Menurutnya, kerja membina masjid yang menelan belanja RM21 juta itu bermula 1 September 2005 dan siap pada Oktober tahun lepas.

:Kontraktor sedia ada akan meneruskan kerja-kerja akhir sehingga sempurna mengikut jadual ditetapkan.

:“Masjid itu menjadi kebanggaan rakyat Besut terutama di sekitar Jertih yang telah lama menunggu untuk menggunakan sebuah masjid yang indah dan menarik.

:“Pembinaan masjid ini bercirikan konsep bersepadu dengan mengambil ciri-ciri penting Masjid Nabawi, Madinah, Cordoba dan Sepanyol. Ciri-ciri reka bentuk Masjid Hadhari ini juga dapat mengembalikan kegemilangan tamadun Islam,” katanya.

:Masjid itu dilengkapi kemudahan rumah tamu untuk musafir, kedai runcit, restoran, mesin pengeluaran wang automatik (ATM), pusat tuisyen, dewan kuliah yang boleh memuatkan 500 orang dan bilik komputer yang menempatkan 15 buah komputer. - sinarharian

Tuesday, March 17, 2009

Timur: 1,000 rumah burung dikawal

Oleh Zainuddin Muhammad
bhkt@bharian.com.my

Garis panduan mohon lesen dikeluarkan PBT tiga bulan lagi

KUALA TERENGGANU: Nasib lebih seribu 'rumah burung' di negeri ini bakal diketahui dalam masa tiga bulan apabila garis panduan permohonan lesen premis perusahaan sarang burung walet dijangka dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

Persoalan utama yang perlu diambilkira PBT ialah sama ada perusahaan yang sekarang dijalankan di kawasan bandar akan dikekalkan atau dipindahkan ke kawasan yang lebih sesuai di luar bandar.

Presiden Persatuan Pedagang Sarang Burung Terengganu (PPSBT), Datuk Tok Teng Sai, berkata kira-kira 80 peratus daripada jumlah keseluruhan premis perusahaan sarang burung walet berada di sekitar kawasan bandar.

Katanya, kerancakan perusahaan sarang burung walet bermula sejak awal tahun 1990-an apabila banyak tingkat atas rumah kedai, terutama di Jalan Bandar, Kampung Cina di sini, mula diubah-suai untuk dijadikan premis tempat burung walet bersarang.

"Pada mulanya, burung walet terbang ke sini akibat jerebu yang melanda Sumatera, Indonesia, namun kini burung tersebut sudah menjadikan Terengganu dan kebanyakan negeri lain di Malaysia sebagai tempat mereka bersarang.

"Kedatangan burung walet yang tidak dijemput itu memberi rezeki lumayan kepada pemilik bangunan tempat burung bersarang kerana harga sarang burung walet mencecah ribuan ringgit untuk satu kilogram di pasaran," katanya.

Tok berkata, amat tidak wajar sekiranya PBT bertindak untuk menutup perusahaan di bandar dan berpindah ke luar bandar kerana pengusaha premis sarang burung sudah membuat pelaburan yang besar.

Katanya lagi, pelaburan ratusan ribu ringgit akan hilang begitu saja kerana burung walet adalah binatang bebas yang tidak boleh dikawal dan bukan binatang ladang seperti lembu, kambing, ayam dan itik yang boleh dipindah pada bila-bila masa.

"Tambahan pula, burung walet mempunyai jasanya tersendiri kepada masyarakat setempat seperti membuka peluang perniagaan sehingga ke luar negara, memberi peluang pekerjaan kepada pelbagai lapisan masyarakat dan menambah nilai hartanah di kawasan bandar.

"Sebagai contoh, sebelum datangnya burung walet, rumah kedai dua tingkat di Kampung Cina tidak dapat dijual walaupun harganya cuma RM100,000 namun nilai hartanah yang sama melonjak kepada lebih RM500,000 dengan adanya burung walet," katanya.

Katanya, memang ada pihak yang kurang senang dengan premis yang dikatakan mengeluarkan bunyi bising, bau busuk dan najis yang berterbangan namun bukan semua masalah itu hanya disebabkan burung walet.

Tok berkata, sehingga kini mungkin masih ramai lagi yang tidak dapat membezakan antara burung walet dan burung layang-layang yang kelihatan serupa dari segi fizikal namun amat berlainan dari segi cara hidup dan kualiti sarang mereka.

"Burung walet yang dikenali dengan nama saintifik Aerodramus mempunyai tujuh spesies dan burung ini yang sarangnya boleh dimakan sentiasa berterbangan tetapi akan hinggap untuk bertenggek di sarang masing-masing.

"Burung layang-layang pula dikenali sebagai Hirudininae yang mempunyai 74 spesies dan antara kelainan burung ini adalah kecenderungannya untuk berhijrah dan suka bertenggek di talian elektrik atau telefon di waktu senja, dan sarangnya juga tidak boleh dimakan kerana diperbuat daripada rumput dan batu," katanya.

Bagaimanapun, wakil penduduk 19 buah rumah kedai di Jalan Tok Lam, Ong Pok Kok, berkata tidak kira sama ada burung walet ataupun layang-layang, kehidupan mereka terganggu dengan adanya premis sarang burung berdekatan dengan tempat perniagaan dan kediaman mereka.

Ong yang menjalankan perniagaan kedai makan, berkata penduduk setempat sudah tidak tahan dengan bunyi bising rakaman kicauan burung yang berlarutan sehingga larut malam dan kotoran najis burung yang memberi masalah kesihatan kepada mereka.

Katanya, walaupun sudah membuat laporan kepada PBT namun setakat ini tidak ada tindakan sewajarnya diambil dan mereka terpaksa meneruskan kehidupan dalam keadaan tertekan dengan masalah yang sudah berlanjutan sejak lebih lima tahun.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Jawatan Kuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Rosli Othman, berkata industri sarang burung walet akan dapat dikawal selia PBT dengan adanya garis panduan yang bakal dikeluarkan dalam masa tiga bulan lagi.

"Apa yang saya dapat janjikan ialah tidak ada pihak yang teraniaya apabila garis panduan ini siap untuk diguna pakai nanti kerana kerajaan negeri akan mengambil jalan terbaik untuk mengeluarkan lesen kepada pengusaha perniagaan sarang burung.

"Masalah yang dialami penduduk setempat juga akan diambil kira dan boleh dikatakan, cuma pengusaha yang mengikut peraturan dan undang-undang saja yang akan dapat beroperasi di premis yang diluluskan PBT," katanya.

Saturday, March 14, 2009

Lebih 600 nelayan gelisah muara Setiu cetek


SETIU 13 Mac - Kecetekan serta tunggul kayu yang terdapat di muara Setiu sejak akhir-akhir ini bukan sahaja menggelisahkan lebih 600 nelayan di beberapa buah kampung di kawasan ini untuk mereka keluar menangkap ikan di laut.

Malah masalah tersebut telah mengakibatkan tiga buah bot nelayan karam serta bocor milik Roslim Mohd., 38, Alias Ali, 53, dan Razale Muhamad, 40, yang berlaku dalam tempoh dua bulan ini.

Kebimbangan serta keresahan yang terpaksa dihadapi para nelayan seperti dari Kampung Fikri, Mangkok, Penarik, Saujana, Pengkalan Gelap dan Gong Batu akibat masalah muara itu yang turut menjejaskan mata pencarian mereka.

Mereka mendakwa punca pendapatan mereka terjejas kerana nelayan terbabit tidak dapat pergi ke laut semasa air surut.

Berikutan masalah berkenaan mereka terpaksa menunggu air pasang untuk keluar menerusi muara itu yang menjadi perhubungan utama kepada bot nelayan di situ sejak sekian lama.

Alias berkata, kerajaan sepatutnya mendalam muara berkenaan dengan seberapa segera bagi mengatasi masalah yang dihadapi oleh bot nelayan terbabit.

Katanya, jika masalah muara cetek dan tunggul kayu itu dipandang sepi oleh pihak kerajaan kemungkinan kejadian yang tidak diingini akan terus berlarutan pada masa akan datang.

Beliau berkata, sungguhpun setakat ini kejadian bot karam tidak melibatkan kehilangan nyawa tetapi kerajaan perlu mengambil kira kepentingan nelayan di kawasan itu yang semata-mata bergantung hasil tangkapan ikan serta sotong di laut.

Beliau yang tinggal di Kampung Saujana dan mempunyai sembilan orang anak itu mengalami kerugian kira-kira RM5,000 kerana botnya rosak selepas tenggelam di muara itu pada hari Khamis lalu.

''Sekarang saya bukan sahaja terpaksa mengeluarkan wang untuk membaik pulih bot tetapi saya juga tidak dapat keluar menangkap ikan untuk beberapa minggu selagi bot tidak siap," katanya yang sudah lebih seminggu tidak pergi ke laut.

Sebelum kejadian tiga bot nelayan bocor dan rosak terdapat lima bot nelayan lain turut tenggelam di muara itu akibat masalah yang sama dalam masa lima tahun lalu.

Roslim pula memberitahu, pada akhir Januari lalu botnya juga karam akibat terkandas di muara itu semasa keluar menangkap sotong di laut.

Katanya, akibat kejadian tersebut dia tidak dapat turun menangkap sotong selama hampir tiga minggu kerana membaiki kerosakan botnya.

''Ketika bot karam, ia amat mencemaskan hati saya kerana saya terpaksa berenang melawan arus deras di muara itu sebelum saya diselamatkan oleh seorang nelayan lain.

''Kadang-kadang apabila mengingatkan peristiwa itu telah membuatkan saya tidak berminat lagi untuk berkerja nelayan tetapi apa kan daya saya tidak mempunyai kebolehan untuk melakukan pekerjaan lain," katanya yang tinggal di Kampung Fikri.

Razale pula berkata, botnya tidak tenggelam tetapi mengalami sedikit kebocoran selepas terlanggar sebatang tunggul kayu dalam air di muara itu, empat hari lalu.

Katanya, botnya tidak karam kerana dia sempat meletakkan beberapa guni yang diisi dengan pasir di tempat bocor itu dengan pertolongan beberapa nelayan lain.

''Sekiranya saya tidak berbuat demikian mungkin bot saya akan tenggelam kerana air sungai boleh masuk menerusi ruang bocor di bahagian bawah bot itu.

''Sebelum kejadian saya telah berhati-hati semasa melalui kawasan itu tetapi muara ini mengandungi banyak tunggul kayu yang tidak dapat dilihat dengan jelas jika ia berada dalam air," katanya.

Friday, March 13, 2009

Projek mewah tidak dihenti

KUALA TERENGGANU - Menteri Besar, Datuk Ahmad Said menafikan kerajaan negeri mengabaikan projek pembangunan di daerah Besut selepas mengambil alih pemerintahan Terengganu daripada mantan Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh.

:Menurut Ahmad, beliau tidak pernah menyisihkan Besut dalam merancang pembangunan sebagaimana didakwa sesetengah pihak sebaliknya meluluskan peruntukan yang lebih besar kepadanya berbanding daerah-daerah lain di negeri ini.

:Beliau berkata, kawasan Besut mendapat peruntukan tinggi iaitu lebih RM800 juta untuk meneruskan projek-projek mega yang ada di daerah tersebut sehingga siap sepenuhnya walaupun Idris tidak lagi menjadi pemimpin nombor satu Terengganu.

:Katanya, antara projek berkenaan ialah Taman Ilmu berjumlah RM410 juta, Universiti Darul Iman Malaysia (UDM) berjumlah RM250 juta, Jertih Souq (RM45 juta), Sekolah Imtiaz (RM145 juta) dan juga Masjid Hadhari.

:“Ini memang projek lama tapi saya masih sambung dan peruntukannya termasuk dalam belanjawan 2009. Kalau saya tak bayar, projek ini akan terbengkalai begitu saja, jadi saya kena keluarkan belanja teruskan projek.

:“Kalau orang kata saya ketepikan Besut itu tidak betul. Kalau tinggal, projek di Besut tidak akan siap,” katanya kepada pemberita dalam sidang media menjelang satu tahun pemerintahannya sebagai Menteri Besar di Wisma Darul Iman, semalam.

:Ahmad memakumkan daerah lain di negeri ini tidak mendapat jumlah peruntukan sebegitu besar seperti disalurkan kepada kawasan Besut termasuk ibu negeri Terengganu, Bandaraya Kuala Terengganu sendiri.

:Menurut Ahmad, beliau sendiri sedih melihat keadaan Kuala Terengganu yang masih mempunyai rumah buruk tidak terurus dan keadaan tersebut hakikatnya jauh ketinggalan berbanding daerah lain di negeri ini.

:“Apa yang ada di Kuala Terengganu sebagai ibu negeri dalam tempoh lima tahun? Apa perancangan di Kuala Terengganu? Saya ma-lu bila masuk kampung tengok rumah buruk, robek, ia menyedihkan,” katanya.

:Ahmad yang juga Pengerusi UMNO Terengganu turut menolak tanggapan bahawa beliau ‘takut’ untuk ke Besut dan berhadapan dengan penyokong Idris sebaliknya beliau jarang ke daerah itu kerana tidak mempunyai program perlu dihadirinya.

:“Pada 1 hari bulan depan kita adakan mesyuarat Exco di Besut. Saya boleh pergi (ke Besut) tapi mereka (penduduk) tidak ada program untuk dihadiri,” katanya.

Wang royalti Petronas dua minggu lagi

KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri dijangka memperoleh kembali wang royalti minyak Petronas sebagaimana dijanjikan oleh kerajaan Persekutuan sebelum ini selewat-lewatnya dua minggu lagi.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, beliau tidak tahu jumlah sebenar royalti yang akan diterima kerana harga bahan mentah tersebut di pasaran sekarang tidak menentu dan sentiasa berubah-ubah.

Menurutnya, berdasarkan perkiraan yang dilakukan ketika harga minyak stabil di pasaran iaitu AS$60 setong, kerajaan negeri dijangka memperoleh kira-kira RM1.5 bilion dan jumlah itu dimasukkan ke dalam bajet negeri.

“Harga minyak sekarang sentiasa turun, susah untuk kita buat perkiraan berapa jumlah sebenarnya yang kita akan dapat, masa buat bajet dulu nilainya sekitar AS$60 sekarang dah AS$40 setong,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam satu sidang akhbar menjelang setahun pentadbirannya sebagai Menteri Besar Terengganu yang diadakan di pejabatnya, Wisma Darul Iman, di sini, semalam.

Ahmad memberitahu, penyerahan semua wang royalti minyak menjadi satu cabaran kepada kerajaan negeri kerana segala pembangunan Terengganu perlu dirancang sendiri tanpa perlu berharap kepada kerajaan Pusat.

“Apabila kerajaan Pusat bersetuju mengembalikan royalti ke pangkuan kerajaan negeri ia bermakna tak ada lagi peruntukan dana khas, kita perlu lakukan segala perancangan dan pembangunan berasaskan bajet tahunan,” katanya.

MB nafi abai bangun Besut

ARKIB : 12/03/2009

MB nafi abai bangun Besut

KUALA TERENGGANU 11 Mac - Menteri Besar, Datuk Ahmad Said menafikan tanggapan yang beliau mengabaikan pembangunan di daerah Besut selepas mengambil alih tampuk pentadbiran negeri daripada Datuk Seri Idris Jusoh.

Menurutnya, tanggapan itu tidak berasas memandangkan Besut menerima lebih RM800 juta daripada bajet negeri untuk tahun 2009 yang berjumlah hampir RM1.8 bilion untuk meneruskan projek pembangunan di daerah itu.

Beliau memberitahu, antara projek berkenaan ialah Taman Ilmu berjumlah RM410 juta, Universiti Darul Iman Malaysia (UDM) berjumlah RM250 juta, Jertih Souq (RM45 juta), Sekolah Imtiaz (RM145 juta) dan Masjid Hadhari.

''Meskipun ini projek lama tapi perlu diteruskan dan peruntukannya dimasukkan dalam Bajet Negeri 2009. Walaupun Taman Ilmu belum berjaya menarik sebuah universiti pun dan peruntukan Sekolah Imtiaz besar sedangkan ia bukan sebuah universiti, namun jika ditamatkan jadi cerita lain pula.

''Jadi, kalau kata saya ketepikan Besut, itu tidak betul. Jika tidak (Besut) tinggal begitu sajalah," katanya pada sidang akhbar menjelang setahun pentadbirannya sebagai Menteri Besar Terengganu hujung bulan ini di sini hari ini.

Ahmad dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu menggantikan Idris selepas kemelut pemilihan yang berlanjutan kira-kira sebulan selepas selesai Pilihan Raya Umum Ke-12, Mac tahun lepas.

Menurut Menteri Besar, daerah lain di negeri ini tidak menerima peruntukan sebesar Besut, malah Kuala Terengganu yang merupakan ibu negeri masih ketinggalan dari banyak segi.

''Saya sendiri malu dan sedih melihat keadaan Kuala Terengganu terutama semasa Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu Januari lepas iaitu apabila saya masuk ke kampung tengok rumah-rumah robek sana-sini," katanya.

Thursday, March 12, 2009

Timur: Syarikat kurier cuai diarah bayar RM1,800

KUALA TERENGGANU: Mahkamah Tribunal Pengguna semalam mengarahkan sebuah syarikat kurier membayar ganti rugi sebanyak RM1,800 kepada seorang pelanggan kerana menghilangkan sebuah kotak berisi pelbagai barangan penting.

Presiden Tribunal, Rahazlan Affandi Abdul Rahim mengarahkan Skynet Worldwide (M) Sdn Bhd, membayar ganti rugi berkenaan kepada Juhaswani Jaafar, 23 selepas dia mendakwa kotak berisi barang bernilai RM4,450 yang dihantar melalui syarikat itu tidak sampai kepada penerima iaitu abangnya di Sarawak.

Dia yang bekerja di Jabatan Perangkaan negeri, berkata kotak berkenaan dihantar pada 13 Januari tahun lalu, mengandungi komputer riba jenama HP, kain songket, beberapa helai pakaian dan produk makanan.


Bagaimanapun, selepas seminggu dia dimaklumkan bahawa barang berkenaan masih tidak diterima oleh abangnya yang sedang mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baru Bintulu, Sarawak.

"Selepas dihubungi, saya terus pergi ke Skynet Jalan Pejabat untuk mendapatkan penjelasan, tetapi mereka mendakwa barang berkenaan sudah diambil oleh seorang lelaki Cina," katanya ketika perbicaraan.

Ketika membacakan keputusan, Rahazlan berkata, memang berlaku kecuaian oleh syarikat kurier berhubung kes berkenaan sehingga menyebabkan kotak berkenaan hilang.

"Seperti yang tercatat pada resit ini, kotak berkenaan adalah seberat 10.8 kilogram, membuktikan kemungkinan terdapat barang seperti yang didakwa oleh penuntut.

"Bagaimanapun, penuntut tidak mempunyai bukti kukuh seperti senarai barang bagi membuktikan barang yang didakwa penuntut terdapat di dalamnya.

Selain itu, beliau juga menolak permohonan Skynet untuk membayar ganti rugi sebanyak RM300 kepada pelanggan seperti yang terkandung dalam syarat yang ditetapkan oleh syarikat.

"Saya tidak boleh menerima permohonan ini kerana ia tidak adil kepada pengguna. Justeru, mahkamah mempunyai kuasa untuk mengubah syarat dan kandungan yang ditetapkan oleh syarikat sekiranya berlaku hal seperti ini," katanya.

Monday, March 9, 2009

Terengganu state will spend RM60mil to boost its local tourism industry

Monday March 9, 2009
Terengganu state will spend RM60mil to boost its local tourism industry
By R.S.N. MURALI

KUALA TERENGGANU: The state will spend RM60mil to develop its heritage attractions to boost the local tourism industry.

Terengganu has been designated as the East Coast Economic Region’s (ECER) tourism hub and under ECER’s master plan and the state will heighten its stature as one of the country’s earliest Islamic civilisation and a crucial route for sea faring traders plying the spice and porcelain businesses.

Kampung Cina was identified as one of the sites to boost the heritage tourism. Situated just beside the city’s waterfront, attracts flocks of tourists hoping to catch a glimpse of the Orient, Arabic and Western-style architecture.

In 1997, Kampung Cina was considered by the World’s Monument Fund as one of the world’s 100 most endangered sites.

State Trade, Industry and Environment committee chairman Toh Chin Yaw said with the support of the state government and non-governmental organisations some of the 300 pre-war shop houses at Kampung Cina dating back to 1700s had undergone restoration.

He said the double storey pre-war buildings have been repaired, repainted and upgraded, making these structures with their colourful roofs and facades a picturesque site.

“Plans are in the pipeline to build a bridge and road to connect Kampung Cina to Pulau Warisan, a man made island which will consist traditional-style buildings and recreational beaches,

This project will provide better tourist facilities, as well as making Kampung Cina cleaner and more attractive,” he said.

The project includes double frontage roads and proper sewage system, commenced last month and is scheduled to be completed in August next year.

In drawing tourists to the heritage site, various cuisine and local delicacies have undergone a revival, such as Madam Bee’s Kitchen, situated across the road from the famous Ma Tzu temple, devoted to the Goddess of the Sea.

The shophouse belonging to award winning chef Tan Choon Bee’s family, had undergone restoration to become one of the area’s best known restaurants, serving authentic Terengganu nyonya cuisine.

Married into a fifth-generation Peranakan family, Tan learned her refined culinary skills from her mother-in-law, meticulous nyonya chef.

Tan said foreign tourists were impressed with the Terengganu nyonya style food served here, which is blended with local ingredients.

“It is very different from Penang and Malacca nyonya cuisine.”

“In keeping true to the tradition of local nyonya food, I have learnt the recipe of making local rojak,” added the housewife-turned-chef.

Terengganu recorded 3.5 million tourist arrivals from Singapore, China, Taiwan and Europe last year resulting in a 24% increase compared to 2007.

Sunday, March 8, 2009

RM500m makeover for Kuala Terengganu

Saturday March 7, 2009
RM500m makeover for Kuala Terengganu

KUALA TERENGGANU: De­­clared a Waterfront City last year, Kuala Terengganu has been allocated RM500mil for a major facelift.

Over the next three years, the money would be spent on various projects such as building an exclusive hotel and commercial parks to meet a shortage of business premises here.

Giving details yesterday, Mentri Besar Datuk Ahmad Said said the city’s growth would be centred at a 5.2ha site in Jalan Hiliran and Ladang Tok Pelam.

Several high-rise condominiums would be built to meet housing needs of civil servants in the state, he said.

“Our vision is to see Kuala Terengganu as a modern administrative and commercial capital in the next four years,” he told reporters after opening the annual meeting of the Association of State Assemblymen’s Wives.

“The state secretary will look for appropriate sites that could be developed as commercial parks,” he added.

Some quarters have said that Kuala Terengganu’s status as a Waterfront City is not fully realised as it lacked commercial infrastructure.

Ahmad said the makeover, which includes improving the city’s transport system, could also attract more investors.

Kajian kenal pasti masalah hakisan pantai

ARKIB : 01/03/2009
Kajian kenal pasti masalah hakisan pantai
KUALA TERENGGANU 28 Feb. - Kajian akan dilakukan bagi mengenal pasti punca dan penyelesaian kepada hakisan pantai berdekatan Kampung Tok Jembal di sini.
Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd. Nasir Ibrahim Fikri berkata, beliau juga telah mengadakan pertemuan dengan pihak kerajaan negeri untuk mengatasi perkara ini.
''Saya tidak dapat memberikan apa- apa ulasan lanjut kerana saya masih tidak mendapat maklumat lengkap berhubung kejadian ini.
''Kajian juga perlu dijalankan bagi mengenal pasti puncanya bagi membolehkan kita mengambil tindakan lanjut,'' katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Mesin Penarik Bot kepada nelayan di Kampung Kubang Badak di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas laporan hakisan pantai berdekatan Kampung Tok Jembal di sini sejak Disember lalu.
Mohd. Nasir memberitahu, sebelum ini, penduduk Kampung Tok Jembal turut mengadu masalah tersebut kepadanya yang menjejaskan keindahan pantai selain aktiviti nelayan.
''Antara aduan dan kebimbangan yang saya terima ialah penambakan pantai untuk projek pembesaran Lapangan Terbang Sultan Mahmud telah menyebabkan kejadian hakisan berkenaan.
''Penambakan pantai tersebut juga mungkin menjadi penyebab kenapa kejadian itu berlaku kerana secara logiknya apabila kita mengubah sesuatu ekosistem itu, ia akan mempengaruhi ekosistem di sekitarnya," ujarnya.

Food, heritage and RM60m to boost Terengganu

2009/03/06
KUALA TERENGGANU: Terengganu will be spending RM60 million to develop heritage attractions to boost tourism. The state has been designated the East Coast Economic Region's (ECER) tourism hub with plans afoot to highlight its role as one of the region's earliest Islamic civilisations.

State Trade, Industry and Environment Committee chairman Toh Chin Yaw said one of the sites identified to boost living heritage tourism and cultural preservation was Kampung Cina, commonly known as Chinatown.

Kampung Cina, situated next to the waterfront here, attracts tourists hoping to catch a glimpse of architecture with Oriental, Arabic and Western influences.

In 1997, it was considered by the World's Monument Fund as one of the world's 100 most endangered sites.

With the support of the state government, non-governmental organisations, the Kuala Terengganu City Council and local Chinese guilds, Toh said, some of the 300 pre-war shophouses in Kampung Cina, dating back a century, had undergone restoration.

Toh, who is also state MCA chairman, said there were plans to build a bridge and road to connect Kampung Cina to Pulau Warisan, a man-made island consisting of traditional buildings and recreational beaches.

The project, including double-frontage roads and a sewage system, is expected to be completed in August.

In luring tourists to the heritage site, local cuisine and delicacies have been revived through food outlets, one of which is Madam Bee's Kitchen, situated near the famous Ma Tzu temple.

The shophouse, which belonged to award-winning chef Tan Choon Bee's family, has been developed into one of well-known restaurants serving authentic nyonya cuisine.

Terengganu recorded 3.5 million tourist arrivals last year, a 24 per cent increase compared with 2007.

MoU Kolej Terengganu Dan Universiti Sumatera Utara

March 08, 2009 23:57 PM

MoU Kolej Terengganu Dan Universiti Sumatera Utara

KUALA LUMPUR, 8 Mac (Bernama) -- Satu Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kolej Universiti TATi (TATiUC), Terengganu dan Universiti Sumatera Utara (USU), Indonesia ditandatangani di sini malam ini.

MoU itu antara lain bertujuan memberi peluang kepada penuntut mendalami bidang penyelidikan dan pembangunan serta berkongsi pengetahuan dan pengalaman. Ia juga akan mengadakan pertukaran kakitangan dan penghantaran penuntut antara kedua-dua pusat pengajian itu.

Pengerusi TATiUC Datuk Dr Abdul Latiff Awang menandatangani bagi pihak TATiUC dan USU diwakili oleh Rektor USU Prof Chairuddin Lubis.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis menandatangani MoU itu, Abdul Latiff berkata kepakaran USU dan TATiUC dalam bidang kejuruteraan dapat digunakan secara bersama selaras dengan hasrat TATiUC untuk menjadi pusat kecemerlangan Robotik, Kejuruteraan Pembuatan dan Kejuruteraan Kimia.

Mengenai penghantaran penuntut dan pertukaran kakitangan, beliau berkata ia dijangka dibuat pada bulan ini.

TATiUC, kolej universiti milik penuh kerajaan negeri Terengganu ditubuhkan pada 1993 manakala USU yang diwujudkan pada 1952 merupakan universiti pertama di Pulau Sumatera.

-- BERNAMA

Saturday, March 7, 2009

RM500 juta struktur semula Kuala Terengganu

KUALA TERENGGANU 6 Mac - Kerajaan negeri memperuntukkan RM500 juta untuk projek penstrukturan semula bandar raya Kuala Terengganu dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, melalui program itu beberapa projek pembangunan akan dilaksanakan termasuk pembinaan hotel bertaraf tiga bintang setinggi 16 tingkat dengan 552 bilik.

Menurutnya, pembinaan projek perumahan komersial pula akan melibatkan 300 unit yang akan dijual kepada rakyat negeri ini serta unit kedai bagi mengatasi masalah ruang niaga di bandar raya ini.

Katanya, fasa pertama projek tersebut melibatkan kawasan seluas kira-kira 5.2 hektar di Jalan Hiliran manakala fasa kedua pula akan dibangunkan di kawasan Ladang Tok Pelam.

''Pembinaan projek ini merupakan tambahan kepada pembangunan sedia ada bagi menampung permintaan masyarakat untuk menempah bilik hotel dan memiliki kediaman.

''Kesemua projek ini akan dikendalikan oleh Lembaga Tabung Warisan Negeri Terengganu," katanya selepas Merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-22 Badan Amal dan Kebajikan Isteri-isteri Wakil Rakyat Negeri Terengganu (Serikandi).

Menurut Ahmad, dengan pembangunan secara berperingkat, ia mampu mengubah wajah bandar raya Kuala Terengganu dalam tempoh empat tahun akan datang.

Selain itu, katanya, kerajaan negeri juga akan membina rumah kediaman untuk kakitangan kerajaan negeri dan Persekutuan bagi memastikan mereka mendapat tempat tinggal yang lebih selesa.

Jelasnya, pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri telah diarah untuk mencari tapak yang sesuai bagi pembinaan rumah kakitangan terbabit.

''Pada peringkat awal dicadangkan dua blok kondominium dibina iaitu untuk kakitangan kerajaan negeri dan Persekutuan yang mempunyai lima bilik," kata beliau.

Mengenai perkhidmatan bas bandar di Kuala Terengganu, beliau berkata, kerajaan negeri bersetuju untuk menambah enam buah lagi bas itu berbanding dua buah yang sedia ada.

Katanya, kerajaan negeri akan mengenakan sedikit bayaran iaitu antara RM1 hingga RM1.50 terhadap perkhidmatan bas itu yang sekarang ini diberi secara percuma.

Menurutnya, ini bagi menampung kos minyak selain elaun pemandu bas yang kini menyediakan perkhidmatan perjalanan sehingga ke Universiti Darul Iman Malaysia (UDM).

Friday, March 6, 2009

TDM untung RM144j tahun lalu

Oleh Abdul Halim Yusoff
halem@bharian.com.my

Prestasi syarikat pelaburan meningkat 60 peratus lebih berbanding 2007

KUALA TERENGGANU: TDM Bhd (TDM), sebuah syarikat pegangan pelaburan yang terbabit dalam bidang perladangan, penjagaan kesihatan dan pengeluaran makanan mencatatkan keuntungan sebelum cukai RM144 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2008, meningkat 140 peratus berbanding RM60 juta yang dicatatkan pada tempoh sama 2007.

Keuntungan lebih tinggi itu disandarkan kepada peningkatan 44 peratus pendapatan kumpulan sebanyak RM385 juta berbanding RM267 juta yang diperoleh pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2007.

TDM yang diasaskan pada 1965 dengan tumpuan kepada bidang perladangan, kini mempunyai 12 ladang sawit seluas 35,000 hektar di Terengganu dan 40,000 hektar di Kalimantan, Indonesia yang dijangka mula memberi sumbangan positif kepada kumpulan mulai 2011.

Keuntungan lebih tinggi turut meningkatkan pendapatan sesaham syarikat yang dikuasai kerajaan negeri Terengganu menerusi Terengganu Inc, kepada 45.85 sen daripada 17.71 sen sebelumnya.

Pengerusi TDM, Datuk Roslan Awang Chik, berkata keputusan kewangan lebih baik itu dicapai berikutan kenaikan harga minyak sawit mentah (CPO) serta prestasi lebih baik bahagian penjagaan kesihatan yang menerima lebih ramai pesakit pada tahun lalu.



"Syarikat juga memanfaatkan peningkatan produktiviti yang mana buat julung kali pengeluaran Tandan Buah Segar (TBS) mencecah 595,002 tan metrik pada 2008, berbanding 515,893 tan metrik pada tahun sebelumnya. Harga CPO yang tinggi pada paras RM2,8884 satu tan metrik pada 2008 berbanding RM2,152 pada 2007 juga menyumbang kepada prestasi lebih baik ini," katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Berikutan program penambahbaikan prestasi yang dilaksanakan bagi meningkatkan kecekapan operasi dan kepuasan pelanggan, bahagian penjagaan kesihatan kumpulan yang terdiri daripada Pusat Perubatan Kelana Jaya, Pusat Perubatan Kuantan dan Hospital Pakar Kuala Terengganu mencatatkan kenaikan hasil sebanyak 38 peratus kepada RM58.5 juta berbanding RM42.4 juta pada 2007.

Sementara bahagian pengeluaran makanan yang memberi tumpuan kepada penternakan ayam dan itik secara bersepadu mencatatkan pendapatan RM25.4 juta pada 2008 berbanding RM18.9 juta pada tahun sebelumnya. Prestasi menggalakkan itu disebabkan peningkatan harga ayam pedaging hidup.

"Strategi pemulihan kumpulan yang dilaksanakan pada 2004 kini mula membuahkan hasil. Strategi syarikat sekarang tertumpu kepada usaha meluaskan saiz ladang dan mengurangkan kos. Dalam bidang penjagaan kesihatan, kami akan menambah baik sistem perkhidmatan di hospital dan menambah bilangan doktor," katanya.

Mengulas prestasi tahun kewangan semasa, Roslan berkata, 2009 adalah tahun mencabar dengan melihat kepada senario ekonomi global. Bagaimanapun, kumpulan akan terus melaksanakan inisiatif untuk meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kos operasi.

"Secara keseluruhannya, kami menjangkakan keputusan kewangan kumpulan pada 2009 akan lebih rendah berbanding 2008 tetapi masih memuaskan kerana tahap produktiviti yang dijangka lebih tinggi," katanya.

Thursday, March 5, 2009

60 peratus peluang pekerjaan untuk rakyat Terengganu

Sinar Harian 050309
KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri akan memberi keutamaan 60 peratus kepada rakyat Terengganu bagi mengisi kekosongan pekerjaan dalam pelbagai sektor dan seterusnya dapat mengelakkan daripada berlakunya pengangguran.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, Ahmad Razif Abd Rahman berkata, langkah itu dibuat bertujuan mengatasi masalah pengangguran dalam kalangan masyarakat di negeri ini terutama pelajar-pelajar lepasan institusi pengajian tinggi awam atau swasta (IPTA/S).

“Kerajaan sedaya upaya berusaha untuk mengelakkan daripada berlakunya pengangguran, lebih-lebih lagi apabila negara kita pada hari ini dilanda krisis ekonomi menyebabkan banyak kilang terpaksa ditutup.

“Namun, sebagai inisiatif untuk mengelak pengangguran, kerajaan negeri telah mengambil langkah awal dengan mengadakan program-program khusus kepada pelajar lepasan IPTA/S seperti Latihan Sambil Bekerja dan kami juga berusaha untuk menambah lagi pekerjaan dalam pelbagai sektor kepada mereka,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurut Razif, konsep yang digunakan ialah keperluan pendidikan seimbang dengan keperluan sumber manusia dan bagi merealisasikan konsep berkenaan, pihak mereka akan mengadakan program-program yang bersesuaian dengan permintaan pekerjaan di pasaran.

Sehubungan itu, katanya, program ‘Job Fair’ akan diadakan di Kuala Terengganu bagi memberi peluang kepada orang ramai untuk mencari pekerjaan terutama bagi mereka yang menganggur yang berpeluang menjalani temu duga terbuka.

“Saya turut sarankan kepada mereka yang masih lagi tidak mendapat pekerjaan supaya mempelajari ilmu kemahiran yang banyak disediakan di IPTA/S di Terengganu dan ini memberi kelebihan kepada mereka ketika memohon sesuatu pekerjaan kelak.

“Kemahiran yang diambil juga perlulah berkaitan dengan permintaan pekerjaan yang ditawarkan di pasaran dan seterusnya memberi peluang kepada mereka untuk bersaing hingga ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Wednesday, March 4, 2009

Maidam bina hotel RM89j di KT

ARKIB : 04/03/2009
Maidam bina hotel RM89j di KT
Oleh WAN RAMLI WAN MUHAMAD
utusanterengganu@utusan.com.my
KUALA TERENGGANU 3 Mac - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Terengganu (Maidam) akan membangunkan tanah- tanah wakaf miliknya di sekitar bandar raya ini dengan pembinaan hotel atau bangunan komersial.
Yang Dipertuanya, Datuk Senara Muda Mazlan Hashim berkata, walaupun keluasan tapak tanah wakaf yang ada kecil namun ia bernilai tinggi dan sesuai untuk hotel dan bukannya projek lain seperti perumahan.
Beliau berkata, menyedari hakikat itu, dalam perkembangan terbaru Maidam dengan kerjasama pemaju swasta dan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar) akan melaksanakan dua projek hotel di Kuala Terengganu yang berharga RM89 juta pertengahan tahun ini.
Menurut beliau projek pertama ialah pembinaan hotel, ruang pejabat dan perniagaan berharga RM39 juta bersebelahan Masjid Abidin di sini membabitkan usahasama dengan Jawhar.
Katanya, pembinaan hotel itu adalah projek Maidam dan Jawhar yang apabila siap kelak, kedua-dua pihak akan menentukan pihak yang bakal menguruskan hotel berkenaan.
"Apabila siap hotel akan menyediakan 155 bilik. Hasilnya untuk Maidam akan disumbangkan kepada Yayasan Wakaf Kebangsaan,
"Pembinaan hotel akan dimulakan pertengahan tahun ini dengan peruntukan telah diluluskan oleh Unit Perancangan Ekonomi," katanya kepada Utusan Malaysia di pejabatnya di sini hari ini.
Mengenai projek pembinaan sebuah lagi hotel, Mazlan berkata, pihaknya bekerjasama sebuah pemaju yang bercadang membangunkan hotel tujuh tingkat berharga RM50 juta bersebelahan Balai Bomba dan Penyelamat di sini, pertengahan tahun ini.
Katanya, pembinaan hotel itu berkonsep usahasama yang mana apabila siap, pemaju menyewa bangunan itu dalam tempoh ditetapkan sebelum diserahkan semula kepada MAIDAM.
Sementara itu, Mazlan berkata, Unit Perancang Ekonomi Negeri Terengganu (UPEN) meluluskan peruntukan RM3 juta bagi melaksanakan tujuh projek pembinaan ruang perniagaan dan perumahan di tanah wakaf di seluruh negeri tahun ini.
Katanya, antara projek itu ialah pembinaan lima unit rumah kedai di lot 5730 di Kampung Padang Air, Kuala Nerus (RM500,000), seunit rumah kedai 1 Tingkat di Lot 2713 di Jalan Nibong, Kuala Dungun (RM200,000) dan 14 unit Rumah Teres di Lot 394 di Seberang Baruh, Cabang Tiga, Kuala Terengganu (RM500,000).

Tuesday, March 3, 2009

Mara lantik kontraktor baiki dua blok baru

3/03/09
KUALA BERANG: Mara akan melantik kontraktor lain bagi melaksanakan kerja pembaikan blok baru asrama dan kelas di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Berang bagi membolehkan pelajar menggunakan kemudahan itu dalam tempoh terdekat.

Jurucakap Mara berkata, bangunan itu tidak dapat diduduki sebelum ini kerana belum mendapat sijil layak menduduki (CF) berikutan kontraktor sebelum ini, OBE Development (M) Sdn Bhd gagal menyempurnakan pembinaannya mengikut spesifikasi yang ditetapkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Bagaimanapun, katanya Mara negeri sudah mengambil tindakan susulan berhubung masalah itu dan sedang memilih kontraktor untuk menyempurnakan pembinaan bangunan itu mengikut spesifikasi yang ditetapkan bagi mengelakkan masalah sama berulang lagi.

"Kami sudah dimaklumkan berhubung masalah itu dan sedang meneliti sebut harga daripada semua kontraktor yang berminat. Berita Harian

"Kami akan membuat pemilihan teliti bagi memastikan tidak timbul masalah seperti sekarang," katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Gemilang SPM 2009, di MRSM Kuala Berang, petang semalam.

Beliau berkata, pihaknya menjangka kerja pembaikan dua blok itu tidak mengambil masa lama kerana 99 peratus daripada bahagian bangunan itu sudah menepati spesifikasi yang ditetapkan.

"Kami percaya kerja pembaikan tidak akan mengambil masa lama kerana hanya membabitkan pembaikan pada bahagian kecil seperti lantai tidak rata serta ukuran tingkap yang salah.

Sunday, March 1, 2009

Dua sekolah ditenggelami air

01/03/09
Oleh Nojie Nadzirah
bhkt@bharian.com.my

Murid terkandas diangkut guna lori MDS untuk pulang ke rumah

PERMAISURI: Hujan lebat sejak 24 jam lalu menyebabkan beberapa kampung, termasuk dua sekolah di daerah ini semalam ditenggelami air dan murid yang terkandas di sebuah sekolah berkenaan terpaksa diangkut menggunakan lori Majlis Daerah Setiu (MDS) apabila jalan yang menghubungkan sekolah itu dinaiki air sedalam antara 0.5 hingga satu meter.

Sebahagian daripada 417 murid Sekolah Kebangsaan Chalok (SKC) terpaksa diangkut menaiki lori MDS untuk pulang ke rumah masing-masing akibat jalan yang menghubungkan sekolah itu di Kampung Lubuk Panjang ditenggelami air.

Tinjauan mendapati kebanyakan murid yang ditemani ibu bapa dan guru berkumpul di pekarangan sekolah untuk dibawa pulang menaiki lori yang disediakan bagi memastikan keselamatan mereka.

Guru SKC, Abidin Yaakob, berkata air mula memenuhi kawasan sekolah kira-kira jam 10 pagi dan beberapa jalan turut dinaiki air menyebabkan pihak sekolah terpaksa meminta bantuan MDS untuk membawa pulang murid-murid dengan menaiki lori.

"Bagi memastikan keselamatan murid terjamin, pihak sekolah menghubungi MDS supaya menyediakan sebuah kenderaan untuk mengangkut murid-murid pulang berikutan paras air semakin meningkat," katanya.

Bagaimanapun, murid sebuah sekolah lagi iaitu Sekolah Kebangsaan Kampung Buloh diambil ibu bapa masing-masing kerana banjir mulai surut ketika tamat sesi persekolahan tengah hari semalam.

Hujan lebat di negeri ini dan dikaitkan dengan fenomena peralihan musim monsun itu turut menyebabkan beberapa kampung di daerah ini termasuk Kampung Chalok Kedai, Kampung Lubuk Panjang, Kampung Buloh Hilir, Kampung Buloh Hulu dan sekitar Bandar Permaisuri ditenggelami air.

Jalan Hulu Seladang ke Bandar Permaisuri di Kampung Che Long yang ditenggelami air sedalam semeter ditutup kepada semua kenderaan sejak jam 9 pagi dan Jalan Chalok Kedai ke Bukit Putera di Kampung Lubuk Panjang yang ditenggelami air antara 0.5 hingga satu meter ditutup kepada kenderaan ringan.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Saliran dan pengairan (JPS) Setiu ketika dihubungi berkata, paras air di beberapa batang sungai di daerah ini mencapai paras bahaya sejak pagi semalam.

Sehingga petang semalam, paras air Sungai Setiu berada pada 8.81 meter, melebihi paras amaran pada 8.50 meter, manakala Sungai Guntong mencatatkan bacaan 12.62 meter, melebihi paras amaran 12.43 meter.

Jambatan baru dibina kurangkan kesesakan

ARKIB : 01/03/2009
Jambatan baru dibina kurangkan kesesakan


MOHD. Nasir Ibrahim Fikri beramah mesra dengan para nelayan selepas menyampaikan mesin penarik bot untuk kegunaan nelayan di pantai Kampung Kubang Badak, Kuala Terengganu, kelmarin.
________________________________________

KUALA TERENGGANU 28 Feb. - Kesesakan lalu lintas di Jambatan Sultan Mahmud yang merentangi Sungai Terengganu di sini, mungkin dapat dikurangkan apabila sebuah jambatan baru dibina tidak lama lagi.
Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd. Nasir Ibrahim Fikri berkata, kerajaan negeri merancang membina jambatan sepanjang kira-kira dua kilometer itu yang menghubungkan Kampung Losong-Pulau Sekati-Teluk Pasu.
Katanya, rancangan untuk membina jambatan itu sudah lama dibuat.
''Bagaimanapun dulu ada sedikit masalah pada reka bentuk jambatan tersebut yang menyebabkan pembinaannya ditangguhkan.
''Reka bentuk dahulu melibatkan dua lorong dan kini diubah kepada empat lorong," katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Mesin Penarik Bot kepada nelayan di Kampung Kubang Badak di sini semalam.
Pada majlis tersebut, beliau menyerahkan sebuah mesin penarik bot bernilai RM5,000 untuk kegunaan nelayan menarik kira-kira 50 buah bot di kampung berkenaan.
Mohd. Nasir berkata, pembinaan jambatan tersebut akan disegerakan bagi mengelak kesesakan lalu lintas di Jambatan Sultan Mahmud menjadi lebih buruk.
''Berdasarkan kajian yang dibuat, Jambatan Sultan Mahmud hanya mampu menampung jumlah kenderaan yang ada sekarang sehingga 2010," katanya.
Beliau menambah, kerajaan negeri dalam proses mengenal pasti dan mengambil semula tanah untuk pembinaan jambatan baru tersebut.
Katanya, pembinaan projek itu juga akan memudahkan mereka yang ingin ke Kota Bharu, Kelantan tanpa perlu memasuki bandar.