Showing posts with label Utusan. Show all posts
Showing posts with label Utusan. Show all posts

Saturday, March 14, 2009

Lebih 600 nelayan gelisah muara Setiu cetek


SETIU 13 Mac - Kecetekan serta tunggul kayu yang terdapat di muara Setiu sejak akhir-akhir ini bukan sahaja menggelisahkan lebih 600 nelayan di beberapa buah kampung di kawasan ini untuk mereka keluar menangkap ikan di laut.

Malah masalah tersebut telah mengakibatkan tiga buah bot nelayan karam serta bocor milik Roslim Mohd., 38, Alias Ali, 53, dan Razale Muhamad, 40, yang berlaku dalam tempoh dua bulan ini.

Kebimbangan serta keresahan yang terpaksa dihadapi para nelayan seperti dari Kampung Fikri, Mangkok, Penarik, Saujana, Pengkalan Gelap dan Gong Batu akibat masalah muara itu yang turut menjejaskan mata pencarian mereka.

Mereka mendakwa punca pendapatan mereka terjejas kerana nelayan terbabit tidak dapat pergi ke laut semasa air surut.

Berikutan masalah berkenaan mereka terpaksa menunggu air pasang untuk keluar menerusi muara itu yang menjadi perhubungan utama kepada bot nelayan di situ sejak sekian lama.

Alias berkata, kerajaan sepatutnya mendalam muara berkenaan dengan seberapa segera bagi mengatasi masalah yang dihadapi oleh bot nelayan terbabit.

Katanya, jika masalah muara cetek dan tunggul kayu itu dipandang sepi oleh pihak kerajaan kemungkinan kejadian yang tidak diingini akan terus berlarutan pada masa akan datang.

Beliau berkata, sungguhpun setakat ini kejadian bot karam tidak melibatkan kehilangan nyawa tetapi kerajaan perlu mengambil kira kepentingan nelayan di kawasan itu yang semata-mata bergantung hasil tangkapan ikan serta sotong di laut.

Beliau yang tinggal di Kampung Saujana dan mempunyai sembilan orang anak itu mengalami kerugian kira-kira RM5,000 kerana botnya rosak selepas tenggelam di muara itu pada hari Khamis lalu.

''Sekarang saya bukan sahaja terpaksa mengeluarkan wang untuk membaik pulih bot tetapi saya juga tidak dapat keluar menangkap ikan untuk beberapa minggu selagi bot tidak siap," katanya yang sudah lebih seminggu tidak pergi ke laut.

Sebelum kejadian tiga bot nelayan bocor dan rosak terdapat lima bot nelayan lain turut tenggelam di muara itu akibat masalah yang sama dalam masa lima tahun lalu.

Roslim pula memberitahu, pada akhir Januari lalu botnya juga karam akibat terkandas di muara itu semasa keluar menangkap sotong di laut.

Katanya, akibat kejadian tersebut dia tidak dapat turun menangkap sotong selama hampir tiga minggu kerana membaiki kerosakan botnya.

''Ketika bot karam, ia amat mencemaskan hati saya kerana saya terpaksa berenang melawan arus deras di muara itu sebelum saya diselamatkan oleh seorang nelayan lain.

''Kadang-kadang apabila mengingatkan peristiwa itu telah membuatkan saya tidak berminat lagi untuk berkerja nelayan tetapi apa kan daya saya tidak mempunyai kebolehan untuk melakukan pekerjaan lain," katanya yang tinggal di Kampung Fikri.

Razale pula berkata, botnya tidak tenggelam tetapi mengalami sedikit kebocoran selepas terlanggar sebatang tunggul kayu dalam air di muara itu, empat hari lalu.

Katanya, botnya tidak karam kerana dia sempat meletakkan beberapa guni yang diisi dengan pasir di tempat bocor itu dengan pertolongan beberapa nelayan lain.

''Sekiranya saya tidak berbuat demikian mungkin bot saya akan tenggelam kerana air sungai boleh masuk menerusi ruang bocor di bahagian bawah bot itu.

''Sebelum kejadian saya telah berhati-hati semasa melalui kawasan itu tetapi muara ini mengandungi banyak tunggul kayu yang tidak dapat dilihat dengan jelas jika ia berada dalam air," katanya.

Friday, March 13, 2009

MB nafi abai bangun Besut

ARKIB : 12/03/2009

MB nafi abai bangun Besut

KUALA TERENGGANU 11 Mac - Menteri Besar, Datuk Ahmad Said menafikan tanggapan yang beliau mengabaikan pembangunan di daerah Besut selepas mengambil alih tampuk pentadbiran negeri daripada Datuk Seri Idris Jusoh.

Menurutnya, tanggapan itu tidak berasas memandangkan Besut menerima lebih RM800 juta daripada bajet negeri untuk tahun 2009 yang berjumlah hampir RM1.8 bilion untuk meneruskan projek pembangunan di daerah itu.

Beliau memberitahu, antara projek berkenaan ialah Taman Ilmu berjumlah RM410 juta, Universiti Darul Iman Malaysia (UDM) berjumlah RM250 juta, Jertih Souq (RM45 juta), Sekolah Imtiaz (RM145 juta) dan Masjid Hadhari.

''Meskipun ini projek lama tapi perlu diteruskan dan peruntukannya dimasukkan dalam Bajet Negeri 2009. Walaupun Taman Ilmu belum berjaya menarik sebuah universiti pun dan peruntukan Sekolah Imtiaz besar sedangkan ia bukan sebuah universiti, namun jika ditamatkan jadi cerita lain pula.

''Jadi, kalau kata saya ketepikan Besut, itu tidak betul. Jika tidak (Besut) tinggal begitu sajalah," katanya pada sidang akhbar menjelang setahun pentadbirannya sebagai Menteri Besar Terengganu hujung bulan ini di sini hari ini.

Ahmad dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu menggantikan Idris selepas kemelut pemilihan yang berlanjutan kira-kira sebulan selepas selesai Pilihan Raya Umum Ke-12, Mac tahun lepas.

Menurut Menteri Besar, daerah lain di negeri ini tidak menerima peruntukan sebesar Besut, malah Kuala Terengganu yang merupakan ibu negeri masih ketinggalan dari banyak segi.

''Saya sendiri malu dan sedih melihat keadaan Kuala Terengganu terutama semasa Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu Januari lepas iaitu apabila saya masuk ke kampung tengok rumah-rumah robek sana-sini," katanya.

Wednesday, March 4, 2009

Maidam bina hotel RM89j di KT

ARKIB : 04/03/2009
Maidam bina hotel RM89j di KT
Oleh WAN RAMLI WAN MUHAMAD
utusanterengganu@utusan.com.my
KUALA TERENGGANU 3 Mac - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Terengganu (Maidam) akan membangunkan tanah- tanah wakaf miliknya di sekitar bandar raya ini dengan pembinaan hotel atau bangunan komersial.
Yang Dipertuanya, Datuk Senara Muda Mazlan Hashim berkata, walaupun keluasan tapak tanah wakaf yang ada kecil namun ia bernilai tinggi dan sesuai untuk hotel dan bukannya projek lain seperti perumahan.
Beliau berkata, menyedari hakikat itu, dalam perkembangan terbaru Maidam dengan kerjasama pemaju swasta dan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar) akan melaksanakan dua projek hotel di Kuala Terengganu yang berharga RM89 juta pertengahan tahun ini.
Menurut beliau projek pertama ialah pembinaan hotel, ruang pejabat dan perniagaan berharga RM39 juta bersebelahan Masjid Abidin di sini membabitkan usahasama dengan Jawhar.
Katanya, pembinaan hotel itu adalah projek Maidam dan Jawhar yang apabila siap kelak, kedua-dua pihak akan menentukan pihak yang bakal menguruskan hotel berkenaan.
"Apabila siap hotel akan menyediakan 155 bilik. Hasilnya untuk Maidam akan disumbangkan kepada Yayasan Wakaf Kebangsaan,
"Pembinaan hotel akan dimulakan pertengahan tahun ini dengan peruntukan telah diluluskan oleh Unit Perancangan Ekonomi," katanya kepada Utusan Malaysia di pejabatnya di sini hari ini.
Mengenai projek pembinaan sebuah lagi hotel, Mazlan berkata, pihaknya bekerjasama sebuah pemaju yang bercadang membangunkan hotel tujuh tingkat berharga RM50 juta bersebelahan Balai Bomba dan Penyelamat di sini, pertengahan tahun ini.
Katanya, pembinaan hotel itu berkonsep usahasama yang mana apabila siap, pemaju menyewa bangunan itu dalam tempoh ditetapkan sebelum diserahkan semula kepada MAIDAM.
Sementara itu, Mazlan berkata, Unit Perancang Ekonomi Negeri Terengganu (UPEN) meluluskan peruntukan RM3 juta bagi melaksanakan tujuh projek pembinaan ruang perniagaan dan perumahan di tanah wakaf di seluruh negeri tahun ini.
Katanya, antara projek itu ialah pembinaan lima unit rumah kedai di lot 5730 di Kampung Padang Air, Kuala Nerus (RM500,000), seunit rumah kedai 1 Tingkat di Lot 2713 di Jalan Nibong, Kuala Dungun (RM200,000) dan 14 unit Rumah Teres di Lot 394 di Seberang Baruh, Cabang Tiga, Kuala Terengganu (RM500,000).

Sunday, March 1, 2009

Jambatan baru dibina kurangkan kesesakan

ARKIB : 01/03/2009
Jambatan baru dibina kurangkan kesesakan


MOHD. Nasir Ibrahim Fikri beramah mesra dengan para nelayan selepas menyampaikan mesin penarik bot untuk kegunaan nelayan di pantai Kampung Kubang Badak, Kuala Terengganu, kelmarin.
________________________________________

KUALA TERENGGANU 28 Feb. - Kesesakan lalu lintas di Jambatan Sultan Mahmud yang merentangi Sungai Terengganu di sini, mungkin dapat dikurangkan apabila sebuah jambatan baru dibina tidak lama lagi.
Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd. Nasir Ibrahim Fikri berkata, kerajaan negeri merancang membina jambatan sepanjang kira-kira dua kilometer itu yang menghubungkan Kampung Losong-Pulau Sekati-Teluk Pasu.
Katanya, rancangan untuk membina jambatan itu sudah lama dibuat.
''Bagaimanapun dulu ada sedikit masalah pada reka bentuk jambatan tersebut yang menyebabkan pembinaannya ditangguhkan.
''Reka bentuk dahulu melibatkan dua lorong dan kini diubah kepada empat lorong," katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Mesin Penarik Bot kepada nelayan di Kampung Kubang Badak di sini semalam.
Pada majlis tersebut, beliau menyerahkan sebuah mesin penarik bot bernilai RM5,000 untuk kegunaan nelayan menarik kira-kira 50 buah bot di kampung berkenaan.
Mohd. Nasir berkata, pembinaan jambatan tersebut akan disegerakan bagi mengelak kesesakan lalu lintas di Jambatan Sultan Mahmud menjadi lebih buruk.
''Berdasarkan kajian yang dibuat, Jambatan Sultan Mahmud hanya mampu menampung jumlah kenderaan yang ada sekarang sehingga 2010," katanya.
Beliau menambah, kerajaan negeri dalam proses mengenal pasti dan mengambil semula tanah untuk pembinaan jambatan baru tersebut.
Katanya, pembinaan projek itu juga akan memudahkan mereka yang ingin ke Kota Bharu, Kelantan tanpa perlu memasuki bandar.

Wednesday, January 7, 2009

Projek kerajaan bukan rasuah politik

ARKIB : 06/01/2009

Projek kerajaan bukan rasuah politik

KUALA TERENGGANU 5 Jan. - Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyelar sikap pembangkang kerana sering mendakwa kononnya pengumuman beberapa projek pembangunan kerajaan menjelang pilihan raya sebagai satu bentuk rasuah politik.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran menegaskan, dakwaan tersebut dilemparkan bertujuan mengalih perhatian rakyat bagi menutup kelemahan dan kegagalan pembangkang menarik sokongan rakyat selama ini.

Katanya, semua pelaksanaan projek kerajaan dibuat dengan perancangan, penuh tanggungjawab dan kesedaran.

''Tuduhan itu tidak berasas, melampau dan cuba mengelirukan rakyat. Mereka buat tuduhan sebab mereka sendiri tidak mampu melaksanakan pembangunan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas dakwaan pembangkang dalam beberapa siri ceramah di Kuala Terengganu bahawa Barisan Nasional (BN) kini mula menyogok pengundi dan rakyat dengan rasuah politik menjelang pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, 17 Januari ini.

Mengenai projek Kementerian Pelajaran, Hishammuddin berkata, semua yang diputuskan adalah sebahagian perancangan yang termasuk dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan sedia ada.

''Jadi, apa yang kita buat dan putuskan secara kebetulannya ia diumumkan di Kuala Terengganu dan ia meliputi kepentingan sekolah di seluruh negara dan pelbagai isu lain termasuk kemasukan anak kita ke sekolah," ujarnya.

Hishamuddin menambah, setiap projek pembangunan kerajaan akan dilakukan menurut perancangan tanpa mengira semasa atau sebelum pilihan raya.

Sunday, January 4, 2009

Dua jalan baru di Wakaf Mempelam

KUALA TERENGGANU 3 Jan. - Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah meluluskan peruntukan segera sebanyak RM200,000 hari ini untuk pembinaan dua batang jalan kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam di sini.

Menterinya, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib berkata, projek tersebut perlu dalam usaha meningkatkan kemudahan infrastruktur di kawasan berkenaan.

Menurutnya, pembinaan dua batang jalan itu oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) akan dilaksanakan secepat mungkin.

''Setakat ini, dua projek pembinaan jalan kampung telah diluluskan dengan peruntukan segera kira-kira RM200,000 dan beberapa lagi projek lain sedang dipertimbangkan," katanya ketika ditemui semasa melawat kawasan projek berkenaan di Kampung Padang Sena di sini hari ini.

Beliau berkata, jalan kampung yang akan dibina itu sepanjang kira-kira 300 meter dengan keluasan kira-kira 4.26 meter di tepi pagar Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Rengas Bekah di Kampung Padang Sena.

Menurutnya, jalan baru itu dibina untuk menyenangkan anak- anak di kampung itu pergi dan balik dari sekolah.

''Jalan ini dibina lebih luas berbanding jalan kampung lain bagi membolehkan dua buah kenderaan melaluinya,'' ujarnya.

Jelasnya, sebuah lagi jalan kampung yang akan dibina adalah sepanjang 300 meter di tepi batas tali air Kampung Padang Sena.

''Pembinaan jalan baru ini melibatkan dua laluan iaitu di sebelah kiri dan kanan tali air untuk memudahkan laluan penduduk Kampung Padang Sena,'' katanya.

Beliau memberitahu, kerajaan sedang memantau beberapa lagi projek pembinaan jalan di DUN Wakaf Mempelam.

''Beberapa projek telah dikenal pasti dan kementerian sedang menunggu penilaian JKR untuk kelulusan peruntukan,'' jelasnya.

DUN Wakaf Mempelam dikuasai Pas menerusi wakil rakyatnya, Mohd. Abdul Wahid Endut yang juga calon parti itu bagi pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, 17 Januari ini.

Projek pembangunan menanti rakyat

ARKIB : 04/01/2009

Projek pembangunan menanti rakyat

KUALA TERENGGANU 3 Jan. - Projek pembangunan bernilai kira-kira RM5.8 juta akan dilaksanakan oleh kerajaan negeri di Kuala Terengganu selepas pilihan raya kecil kawasan Parlimen itu pada 17 Januari ini.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, projek berkenaan termasuk RM2 juta untuk membaiki longkang serta jalan raya yang rosak manakala RM3.8 juta lagi untuk projek-projek kecil.

Justeru menurutnya, amat penting bagi rakyat untuk memastikan Barisan Nasional (BN) menang pada pilihan raya kecil itu supaya pembangunan yang dirancang dapat dilaksanakan.

''Saya sasarkan kita memperoleh kemenangan dengan majoriti 2,000 undi, jika lebih daripada itu kerajaan negeri tidak kisah untuk menambah lagi peruntukan pembangunan kawasan ini,'' ujarnya ketika berucap pada majlis jamuan rakyat di sini hari ini.

Menurut Menteri Besar, sukar bagi kerajaan negeri untuk melaksanakan pembangunan yang dirancang jika Parlimen Kuala Terengganu jatuh ke tangan pembangkang.

Beliau memberi contoh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam yang ketinggalan dari segi pembangunan kerana dikuasai Pas sejak 1990.

''Bagaimana wakil rakyatnya mahu membangunkan kawasan itu sedangkan beliau bukan daripada parti memerintah. Inilah keadaan yang berlaku jika sesebuah kawasan itu jatuh ke tangan pembangkang,'' ujarnya.

Justeru katanya, rakyat harus faham dan mengamalkan pepatah 'orang memberi kita merasa' iaitu membalas segala kebaikan yang dibuat oleh kerajaan dengan mengundi BN pada pilihan raya kecil kelak.

Friday, January 2, 2009

RM50j majukan K.Terengganu

ARKIB : 02/01/2009

RM50j majukan K.Terengganu

KUALA TERENGGANU 1 Jan. - Kerajaan Terengganu memperuntukkan RM50 juta untuk menyediakan pelbagai kemudahan kepada penduduk bandar raya Kuala Terengganu sepanjang tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, angka tersebut tidak termasuk peruntukan yang disediakan oleh pelbagai agensi dan kerajaan Pusat untuk melaksanakan projek masing-masing.

''Saya yakin bandar raya ini akan lebih cemerlang dan maju dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

''Kerajaan negeri akan meningkatkan kemudahan dari semasa ke semasa berdasarkan kemampuan kewangan yang ada," ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Mengenai Bandar Raya Kuala Terengganu sempena ulang tahun pertama Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di sini hari ini.

Dengan pelbagai kemudahan yang disediakan nanti, Ahmad mahu semua warga bandar raya Kuala Terengganu menekankan aspek kebersihan dalam kehidupan mereka dengan meninggalkan tabiat buruk suka membuang sampah merata-rata.

Menurutnya, penekanan terhadap aspek kebersihan akan mewujudkan persekitaran yang selesa kepada penghuni bandar raya ini.

''Jika keadaan bersih dan selamat, pelancong pun suka datang ke sini," ujarnya.

Ahmad turut meminta warga bandar raya ini supaya menunaikan tanggungjawab mereka membayar cukai pintu serta cukai lain yang dikenakan bagi membantu usaha kerajaan membangunkan bandar raya ini supaya menjadi lebih ceria dan tersusun.

Beliau berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan oleh Datuk Bandar Kuala Terengganu, Datuk Mat Razali Kassim sepanjang menerajui MBKT dalam tempoh setahun lepas.

''Adalah diharapkan beliau terus bekerja dengan lebih gigih bagi memastikan Kuala Terengganu terus cemerlang.

''Yang penting beliau (Razali) mampu menjalankan tugas dengan baik, sebab itu beliau dikekalkan di MBKT," ujarnya.