Thursday, December 24, 2009

RM60j naik taraf Pasar Payang

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Negeri berhasrat menaik taraf Pasar Besar Kedai Payang (Pasar Payang) supaya lebih selesa dan berimej baru.

Penolong Pengarah (Usahawan dan Industri Kecil dan Sederhana) Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen) Terengganu, Zuwislan Awang berkata, kos untuk menaik taraf Pasar Payang dianggarkan kira-kira RM60 juta.

“Projek ini mungkin akan dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) nanti.

“Dalam perancangan kita juga, Pasar Payang selepas ini hanya akan menjual produk kraf, manakala pasar basah akan dialihkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Ranca�ngan Pembangunan negeri Terengganu dari 2009 hingga 2013’ pada Seminar Perancangan dan Pelaksanaan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (Ecer) dan Unit Perancangan Ekonomi Negeri (Upen) Negeri Terengganu di Dewan Konvensyen Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu, di sini, semalam.

Menurutnya, rancangan menaik taraf Pasar Payang adalah salah satu projek pembangunan di bawah Portfolio Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri.

Sementara itu, katanya, di bawah Rancangan Pembangunan Negeri juga, Kerajaan Negeri kini dalam proses memasang kamera litar tertutup (CCTV) di seluruh bandar negeri ini yang boleh membantu menyelesaikan masalah jenayah selain mewujudkan bandar selamat.

”Bagi mengatasi masalah banjir terutama di Taman Desa Pusu 3 pula, Kerajaan Negeri akan mewujudkan satu sistem perparitan yang lebih terancang dan sistematik,” katanya.

Dalam pada itu, Zuwislan berkata, Kerajaan Negeri sekarang sedang membangunkan Bandar Baru Kijal yang dijangka siap pada 2012, manakala bagi projek Bandar Baru Bukit Besar pula, kini Kerajaan Negeri sedang membina kemudahan infrastruktur di kawasan itu.

Selain itu, katanya, di bawah Portfolio Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam pula, Kerajaan Negeri merancang mewujudkan rangkaian perhubungan bandar dan luar bandar yang lebih efisien bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas disebabkan kawasan bandar raya negeri ini yang mempunyai terlalu banyak lampu isyarat.

“Bagi mengatasi isu kesesakan lalu lintas ini, kita merancang mewujudkan persimpangan berlingkar di bandar raya Kuala Terengganu dari Jalan Batu Burok ke Jalan Kamaruddin ke persimpangan Cabang Tiga-Kuala Berang,” katanya. i.

No comments:

Post a Comment