|
|
HULU TERENGGANU 21 Dis. - Tiga pekerja Bangladesh dan seorang pekerja tempatan cedera apabila sengkuap kaca pada bumbung terminal pengangkutan awam bernilai RM4.2 juta yang sedang dalam pembinaan di Kuala Berang di sini runtuh hari ini.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 3 petang semalam ketika mangsa sedang melakukan kerja-kerja memasang plat kaca itu untuk sengkuap bumbung bahagian hadapan bangunan itu.
Pembinaan bumbung tersebut bermula sejak seminggu lalu.
Penyelia projek, Zahir Hariri berkata, dia terdengar bunyi yang kuat ketika berada di pejabat sementaranya yang terletak berhampiran terminal tersebut.
Menurutnya, dia terkejut apabila keluar dari pejabatnya dan mendapati kaca sengkuap sepanjang 27.4 meter itu runtuh.
''Kejadian itu menyebabkan dua pekerja warga Bangladesh yang berada di atas bumbung dan dua lagi iaitu seorang warga Bangladesh dan seorang rakyat tempatan yang berada di bawah cedera,'' katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.
Beliau menambah, kesemua mangsa yang mengalami cedera ringan di bahagian kaki, dahi dan tangan akibat terkena serpihan kaca itu kemudiannya dihantar ke Hospital Hulu Terengganu dan dirawat sebagai pesakit luar.
Sementara itu, salah seorang pekerja yang enggan dikenali memberitahu, kesemua kira-kira 15 pekerja yang berada di kawasan pembinaan terkejut dengan kejadian itu yang berlaku secara tiba-tiba tanpa sebarang petanda.
''Saya tidak mendengar sebarang bunyi benda retak sebelum runtuhan berlaku,'' katanya yang enggan mengulas lanjut mengenai kejadian itu.
Dalam pada itu, Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Terengganu, Mohd. Nor Ibrahim ketika dihubungi enggan mengulas mengenai kejadian itu.
No comments:
Post a Comment