Saturday, March 14, 2009
Lebih 600 nelayan gelisah muara Setiu cetek
SETIU 13 Mac - Kecetekan serta tunggul kayu yang terdapat di muara Setiu sejak akhir-akhir ini bukan sahaja menggelisahkan lebih 600 nelayan di beberapa buah kampung di kawasan ini untuk mereka keluar menangkap ikan di laut.
Malah masalah tersebut telah mengakibatkan tiga buah bot nelayan karam serta bocor milik Roslim Mohd., 38, Alias Ali, 53, dan Razale Muhamad, 40, yang berlaku dalam tempoh dua bulan ini.
Kebimbangan serta keresahan yang terpaksa dihadapi para nelayan seperti dari Kampung Fikri, Mangkok, Penarik, Saujana, Pengkalan Gelap dan Gong Batu akibat masalah muara itu yang turut menjejaskan mata pencarian mereka.
Mereka mendakwa punca pendapatan mereka terjejas kerana nelayan terbabit tidak dapat pergi ke laut semasa air surut.
Berikutan masalah berkenaan mereka terpaksa menunggu air pasang untuk keluar menerusi muara itu yang menjadi perhubungan utama kepada bot nelayan di situ sejak sekian lama.
Alias berkata, kerajaan sepatutnya mendalam muara berkenaan dengan seberapa segera bagi mengatasi masalah yang dihadapi oleh bot nelayan terbabit.
Katanya, jika masalah muara cetek dan tunggul kayu itu dipandang sepi oleh pihak kerajaan kemungkinan kejadian yang tidak diingini akan terus berlarutan pada masa akan datang.
Beliau berkata, sungguhpun setakat ini kejadian bot karam tidak melibatkan kehilangan nyawa tetapi kerajaan perlu mengambil kira kepentingan nelayan di kawasan itu yang semata-mata bergantung hasil tangkapan ikan serta sotong di laut.
Beliau yang tinggal di Kampung Saujana dan mempunyai sembilan orang anak itu mengalami kerugian kira-kira RM5,000 kerana botnya rosak selepas tenggelam di muara itu pada hari Khamis lalu.
''Sekarang saya bukan sahaja terpaksa mengeluarkan wang untuk membaik pulih bot tetapi saya juga tidak dapat keluar menangkap ikan untuk beberapa minggu selagi bot tidak siap," katanya yang sudah lebih seminggu tidak pergi ke laut.
Sebelum kejadian tiga bot nelayan bocor dan rosak terdapat lima bot nelayan lain turut tenggelam di muara itu akibat masalah yang sama dalam masa lima tahun lalu.
Roslim pula memberitahu, pada akhir Januari lalu botnya juga karam akibat terkandas di muara itu semasa keluar menangkap sotong di laut.
Katanya, akibat kejadian tersebut dia tidak dapat turun menangkap sotong selama hampir tiga minggu kerana membaiki kerosakan botnya.
''Ketika bot karam, ia amat mencemaskan hati saya kerana saya terpaksa berenang melawan arus deras di muara itu sebelum saya diselamatkan oleh seorang nelayan lain.
''Kadang-kadang apabila mengingatkan peristiwa itu telah membuatkan saya tidak berminat lagi untuk berkerja nelayan tetapi apa kan daya saya tidak mempunyai kebolehan untuk melakukan pekerjaan lain," katanya yang tinggal di Kampung Fikri.
Razale pula berkata, botnya tidak tenggelam tetapi mengalami sedikit kebocoran selepas terlanggar sebatang tunggul kayu dalam air di muara itu, empat hari lalu.
Katanya, botnya tidak karam kerana dia sempat meletakkan beberapa guni yang diisi dengan pasir di tempat bocor itu dengan pertolongan beberapa nelayan lain.
''Sekiranya saya tidak berbuat demikian mungkin bot saya akan tenggelam kerana air sungai boleh masuk menerusi ruang bocor di bahagian bawah bot itu.
''Sebelum kejadian saya telah berhati-hati semasa melalui kawasan itu tetapi muara ini mengandungi banyak tunggul kayu yang tidak dapat dilihat dengan jelas jika ia berada dalam air," katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment