Friday, March 6, 2009

TDM untung RM144j tahun lalu

Oleh Abdul Halim Yusoff
halem@bharian.com.my

Prestasi syarikat pelaburan meningkat 60 peratus lebih berbanding 2007

KUALA TERENGGANU: TDM Bhd (TDM), sebuah syarikat pegangan pelaburan yang terbabit dalam bidang perladangan, penjagaan kesihatan dan pengeluaran makanan mencatatkan keuntungan sebelum cukai RM144 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2008, meningkat 140 peratus berbanding RM60 juta yang dicatatkan pada tempoh sama 2007.

Keuntungan lebih tinggi itu disandarkan kepada peningkatan 44 peratus pendapatan kumpulan sebanyak RM385 juta berbanding RM267 juta yang diperoleh pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2007.

TDM yang diasaskan pada 1965 dengan tumpuan kepada bidang perladangan, kini mempunyai 12 ladang sawit seluas 35,000 hektar di Terengganu dan 40,000 hektar di Kalimantan, Indonesia yang dijangka mula memberi sumbangan positif kepada kumpulan mulai 2011.

Keuntungan lebih tinggi turut meningkatkan pendapatan sesaham syarikat yang dikuasai kerajaan negeri Terengganu menerusi Terengganu Inc, kepada 45.85 sen daripada 17.71 sen sebelumnya.

Pengerusi TDM, Datuk Roslan Awang Chik, berkata keputusan kewangan lebih baik itu dicapai berikutan kenaikan harga minyak sawit mentah (CPO) serta prestasi lebih baik bahagian penjagaan kesihatan yang menerima lebih ramai pesakit pada tahun lalu.



"Syarikat juga memanfaatkan peningkatan produktiviti yang mana buat julung kali pengeluaran Tandan Buah Segar (TBS) mencecah 595,002 tan metrik pada 2008, berbanding 515,893 tan metrik pada tahun sebelumnya. Harga CPO yang tinggi pada paras RM2,8884 satu tan metrik pada 2008 berbanding RM2,152 pada 2007 juga menyumbang kepada prestasi lebih baik ini," katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Berikutan program penambahbaikan prestasi yang dilaksanakan bagi meningkatkan kecekapan operasi dan kepuasan pelanggan, bahagian penjagaan kesihatan kumpulan yang terdiri daripada Pusat Perubatan Kelana Jaya, Pusat Perubatan Kuantan dan Hospital Pakar Kuala Terengganu mencatatkan kenaikan hasil sebanyak 38 peratus kepada RM58.5 juta berbanding RM42.4 juta pada 2007.

Sementara bahagian pengeluaran makanan yang memberi tumpuan kepada penternakan ayam dan itik secara bersepadu mencatatkan pendapatan RM25.4 juta pada 2008 berbanding RM18.9 juta pada tahun sebelumnya. Prestasi menggalakkan itu disebabkan peningkatan harga ayam pedaging hidup.

"Strategi pemulihan kumpulan yang dilaksanakan pada 2004 kini mula membuahkan hasil. Strategi syarikat sekarang tertumpu kepada usaha meluaskan saiz ladang dan mengurangkan kos. Dalam bidang penjagaan kesihatan, kami akan menambah baik sistem perkhidmatan di hospital dan menambah bilangan doktor," katanya.

Mengulas prestasi tahun kewangan semasa, Roslan berkata, 2009 adalah tahun mencabar dengan melihat kepada senario ekonomi global. Bagaimanapun, kumpulan akan terus melaksanakan inisiatif untuk meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kos operasi.

"Secara keseluruhannya, kami menjangkakan keputusan kewangan kumpulan pada 2009 akan lebih rendah berbanding 2008 tetapi masih memuaskan kerana tahap produktiviti yang dijangka lebih tinggi," katanya.

No comments:

Post a Comment