Tuesday, March 17, 2009

Timur: 1,000 rumah burung dikawal

Oleh Zainuddin Muhammad
bhkt@bharian.com.my

Garis panduan mohon lesen dikeluarkan PBT tiga bulan lagi

KUALA TERENGGANU: Nasib lebih seribu 'rumah burung' di negeri ini bakal diketahui dalam masa tiga bulan apabila garis panduan permohonan lesen premis perusahaan sarang burung walet dijangka dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

Persoalan utama yang perlu diambilkira PBT ialah sama ada perusahaan yang sekarang dijalankan di kawasan bandar akan dikekalkan atau dipindahkan ke kawasan yang lebih sesuai di luar bandar.

Presiden Persatuan Pedagang Sarang Burung Terengganu (PPSBT), Datuk Tok Teng Sai, berkata kira-kira 80 peratus daripada jumlah keseluruhan premis perusahaan sarang burung walet berada di sekitar kawasan bandar.

Katanya, kerancakan perusahaan sarang burung walet bermula sejak awal tahun 1990-an apabila banyak tingkat atas rumah kedai, terutama di Jalan Bandar, Kampung Cina di sini, mula diubah-suai untuk dijadikan premis tempat burung walet bersarang.

"Pada mulanya, burung walet terbang ke sini akibat jerebu yang melanda Sumatera, Indonesia, namun kini burung tersebut sudah menjadikan Terengganu dan kebanyakan negeri lain di Malaysia sebagai tempat mereka bersarang.

"Kedatangan burung walet yang tidak dijemput itu memberi rezeki lumayan kepada pemilik bangunan tempat burung bersarang kerana harga sarang burung walet mencecah ribuan ringgit untuk satu kilogram di pasaran," katanya.

Tok berkata, amat tidak wajar sekiranya PBT bertindak untuk menutup perusahaan di bandar dan berpindah ke luar bandar kerana pengusaha premis sarang burung sudah membuat pelaburan yang besar.

Katanya lagi, pelaburan ratusan ribu ringgit akan hilang begitu saja kerana burung walet adalah binatang bebas yang tidak boleh dikawal dan bukan binatang ladang seperti lembu, kambing, ayam dan itik yang boleh dipindah pada bila-bila masa.

"Tambahan pula, burung walet mempunyai jasanya tersendiri kepada masyarakat setempat seperti membuka peluang perniagaan sehingga ke luar negara, memberi peluang pekerjaan kepada pelbagai lapisan masyarakat dan menambah nilai hartanah di kawasan bandar.

"Sebagai contoh, sebelum datangnya burung walet, rumah kedai dua tingkat di Kampung Cina tidak dapat dijual walaupun harganya cuma RM100,000 namun nilai hartanah yang sama melonjak kepada lebih RM500,000 dengan adanya burung walet," katanya.

Katanya, memang ada pihak yang kurang senang dengan premis yang dikatakan mengeluarkan bunyi bising, bau busuk dan najis yang berterbangan namun bukan semua masalah itu hanya disebabkan burung walet.

Tok berkata, sehingga kini mungkin masih ramai lagi yang tidak dapat membezakan antara burung walet dan burung layang-layang yang kelihatan serupa dari segi fizikal namun amat berlainan dari segi cara hidup dan kualiti sarang mereka.

"Burung walet yang dikenali dengan nama saintifik Aerodramus mempunyai tujuh spesies dan burung ini yang sarangnya boleh dimakan sentiasa berterbangan tetapi akan hinggap untuk bertenggek di sarang masing-masing.

"Burung layang-layang pula dikenali sebagai Hirudininae yang mempunyai 74 spesies dan antara kelainan burung ini adalah kecenderungannya untuk berhijrah dan suka bertenggek di talian elektrik atau telefon di waktu senja, dan sarangnya juga tidak boleh dimakan kerana diperbuat daripada rumput dan batu," katanya.

Bagaimanapun, wakil penduduk 19 buah rumah kedai di Jalan Tok Lam, Ong Pok Kok, berkata tidak kira sama ada burung walet ataupun layang-layang, kehidupan mereka terganggu dengan adanya premis sarang burung berdekatan dengan tempat perniagaan dan kediaman mereka.

Ong yang menjalankan perniagaan kedai makan, berkata penduduk setempat sudah tidak tahan dengan bunyi bising rakaman kicauan burung yang berlarutan sehingga larut malam dan kotoran najis burung yang memberi masalah kesihatan kepada mereka.

Katanya, walaupun sudah membuat laporan kepada PBT namun setakat ini tidak ada tindakan sewajarnya diambil dan mereka terpaksa meneruskan kehidupan dalam keadaan tertekan dengan masalah yang sudah berlanjutan sejak lebih lima tahun.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Jawatan Kuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Rosli Othman, berkata industri sarang burung walet akan dapat dikawal selia PBT dengan adanya garis panduan yang bakal dikeluarkan dalam masa tiga bulan lagi.

"Apa yang saya dapat janjikan ialah tidak ada pihak yang teraniaya apabila garis panduan ini siap untuk diguna pakai nanti kerana kerajaan negeri akan mengambil jalan terbaik untuk mengeluarkan lesen kepada pengusaha perniagaan sarang burung.

"Masalah yang dialami penduduk setempat juga akan diambil kira dan boleh dikatakan, cuma pengusaha yang mengikut peraturan dan undang-undang saja yang akan dapat beroperasi di premis yang diluluskan PBT," katanya.

No comments:

Post a Comment