Sunday, March 8, 2009

Kajian kenal pasti masalah hakisan pantai

ARKIB : 01/03/2009
Kajian kenal pasti masalah hakisan pantai
KUALA TERENGGANU 28 Feb. - Kajian akan dilakukan bagi mengenal pasti punca dan penyelesaian kepada hakisan pantai berdekatan Kampung Tok Jembal di sini.
Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd. Nasir Ibrahim Fikri berkata, beliau juga telah mengadakan pertemuan dengan pihak kerajaan negeri untuk mengatasi perkara ini.
''Saya tidak dapat memberikan apa- apa ulasan lanjut kerana saya masih tidak mendapat maklumat lengkap berhubung kejadian ini.
''Kajian juga perlu dijalankan bagi mengenal pasti puncanya bagi membolehkan kita mengambil tindakan lanjut,'' katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Mesin Penarik Bot kepada nelayan di Kampung Kubang Badak di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas laporan hakisan pantai berdekatan Kampung Tok Jembal di sini sejak Disember lalu.
Mohd. Nasir memberitahu, sebelum ini, penduduk Kampung Tok Jembal turut mengadu masalah tersebut kepadanya yang menjejaskan keindahan pantai selain aktiviti nelayan.
''Antara aduan dan kebimbangan yang saya terima ialah penambakan pantai untuk projek pembesaran Lapangan Terbang Sultan Mahmud telah menyebabkan kejadian hakisan berkenaan.
''Penambakan pantai tersebut juga mungkin menjadi penyebab kenapa kejadian itu berlaku kerana secara logiknya apabila kita mengubah sesuatu ekosistem itu, ia akan mempengaruhi ekosistem di sekitarnya," ujarnya.

No comments:

Post a Comment