Sunday, March 1, 2009

Jambatan baru dibina kurangkan kesesakan

ARKIB : 01/03/2009
Jambatan baru dibina kurangkan kesesakan


MOHD. Nasir Ibrahim Fikri beramah mesra dengan para nelayan selepas menyampaikan mesin penarik bot untuk kegunaan nelayan di pantai Kampung Kubang Badak, Kuala Terengganu, kelmarin.
________________________________________

KUALA TERENGGANU 28 Feb. - Kesesakan lalu lintas di Jambatan Sultan Mahmud yang merentangi Sungai Terengganu di sini, mungkin dapat dikurangkan apabila sebuah jambatan baru dibina tidak lama lagi.
Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd. Nasir Ibrahim Fikri berkata, kerajaan negeri merancang membina jambatan sepanjang kira-kira dua kilometer itu yang menghubungkan Kampung Losong-Pulau Sekati-Teluk Pasu.
Katanya, rancangan untuk membina jambatan itu sudah lama dibuat.
''Bagaimanapun dulu ada sedikit masalah pada reka bentuk jambatan tersebut yang menyebabkan pembinaannya ditangguhkan.
''Reka bentuk dahulu melibatkan dua lorong dan kini diubah kepada empat lorong," katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Mesin Penarik Bot kepada nelayan di Kampung Kubang Badak di sini semalam.
Pada majlis tersebut, beliau menyerahkan sebuah mesin penarik bot bernilai RM5,000 untuk kegunaan nelayan menarik kira-kira 50 buah bot di kampung berkenaan.
Mohd. Nasir berkata, pembinaan jambatan tersebut akan disegerakan bagi mengelak kesesakan lalu lintas di Jambatan Sultan Mahmud menjadi lebih buruk.
''Berdasarkan kajian yang dibuat, Jambatan Sultan Mahmud hanya mampu menampung jumlah kenderaan yang ada sekarang sehingga 2010," katanya.
Beliau menambah, kerajaan negeri dalam proses mengenal pasti dan mengambil semula tanah untuk pembinaan jambatan baru tersebut.
Katanya, pembinaan projek itu juga akan memudahkan mereka yang ingin ke Kota Bharu, Kelantan tanpa perlu memasuki bandar.

No comments:

Post a Comment