Sunday, March 8, 2009

MoU Kolej Terengganu Dan Universiti Sumatera Utara

March 08, 2009 23:57 PM

MoU Kolej Terengganu Dan Universiti Sumatera Utara

KUALA LUMPUR, 8 Mac (Bernama) -- Satu Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kolej Universiti TATi (TATiUC), Terengganu dan Universiti Sumatera Utara (USU), Indonesia ditandatangani di sini malam ini.

MoU itu antara lain bertujuan memberi peluang kepada penuntut mendalami bidang penyelidikan dan pembangunan serta berkongsi pengetahuan dan pengalaman. Ia juga akan mengadakan pertukaran kakitangan dan penghantaran penuntut antara kedua-dua pusat pengajian itu.

Pengerusi TATiUC Datuk Dr Abdul Latiff Awang menandatangani bagi pihak TATiUC dan USU diwakili oleh Rektor USU Prof Chairuddin Lubis.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis menandatangani MoU itu, Abdul Latiff berkata kepakaran USU dan TATiUC dalam bidang kejuruteraan dapat digunakan secara bersama selaras dengan hasrat TATiUC untuk menjadi pusat kecemerlangan Robotik, Kejuruteraan Pembuatan dan Kejuruteraan Kimia.

Mengenai penghantaran penuntut dan pertukaran kakitangan, beliau berkata ia dijangka dibuat pada bulan ini.

TATiUC, kolej universiti milik penuh kerajaan negeri Terengganu ditubuhkan pada 1993 manakala USU yang diwujudkan pada 1952 merupakan universiti pertama di Pulau Sumatera.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment