Saturday, March 7, 2009

RM500 juta struktur semula Kuala Terengganu

KUALA TERENGGANU 6 Mac - Kerajaan negeri memperuntukkan RM500 juta untuk projek penstrukturan semula bandar raya Kuala Terengganu dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, melalui program itu beberapa projek pembangunan akan dilaksanakan termasuk pembinaan hotel bertaraf tiga bintang setinggi 16 tingkat dengan 552 bilik.

Menurutnya, pembinaan projek perumahan komersial pula akan melibatkan 300 unit yang akan dijual kepada rakyat negeri ini serta unit kedai bagi mengatasi masalah ruang niaga di bandar raya ini.

Katanya, fasa pertama projek tersebut melibatkan kawasan seluas kira-kira 5.2 hektar di Jalan Hiliran manakala fasa kedua pula akan dibangunkan di kawasan Ladang Tok Pelam.

''Pembinaan projek ini merupakan tambahan kepada pembangunan sedia ada bagi menampung permintaan masyarakat untuk menempah bilik hotel dan memiliki kediaman.

''Kesemua projek ini akan dikendalikan oleh Lembaga Tabung Warisan Negeri Terengganu," katanya selepas Merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-22 Badan Amal dan Kebajikan Isteri-isteri Wakil Rakyat Negeri Terengganu (Serikandi).

Menurut Ahmad, dengan pembangunan secara berperingkat, ia mampu mengubah wajah bandar raya Kuala Terengganu dalam tempoh empat tahun akan datang.

Selain itu, katanya, kerajaan negeri juga akan membina rumah kediaman untuk kakitangan kerajaan negeri dan Persekutuan bagi memastikan mereka mendapat tempat tinggal yang lebih selesa.

Jelasnya, pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri telah diarah untuk mencari tapak yang sesuai bagi pembinaan rumah kakitangan terbabit.

''Pada peringkat awal dicadangkan dua blok kondominium dibina iaitu untuk kakitangan kerajaan negeri dan Persekutuan yang mempunyai lima bilik," kata beliau.

Mengenai perkhidmatan bas bandar di Kuala Terengganu, beliau berkata, kerajaan negeri bersetuju untuk menambah enam buah lagi bas itu berbanding dua buah yang sedia ada.

Katanya, kerajaan negeri akan mengenakan sedikit bayaran iaitu antara RM1 hingga RM1.50 terhadap perkhidmatan bas itu yang sekarang ini diberi secara percuma.

Menurutnya, ini bagi menampung kos minyak selain elaun pemandu bas yang kini menyediakan perkhidmatan perjalanan sehingga ke Universiti Darul Iman Malaysia (UDM).

No comments:

Post a Comment