Thursday, March 5, 2009

60 peratus peluang pekerjaan untuk rakyat Terengganu

Sinar Harian 050309
KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri akan memberi keutamaan 60 peratus kepada rakyat Terengganu bagi mengisi kekosongan pekerjaan dalam pelbagai sektor dan seterusnya dapat mengelakkan daripada berlakunya pengangguran.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, Ahmad Razif Abd Rahman berkata, langkah itu dibuat bertujuan mengatasi masalah pengangguran dalam kalangan masyarakat di negeri ini terutama pelajar-pelajar lepasan institusi pengajian tinggi awam atau swasta (IPTA/S).

“Kerajaan sedaya upaya berusaha untuk mengelakkan daripada berlakunya pengangguran, lebih-lebih lagi apabila negara kita pada hari ini dilanda krisis ekonomi menyebabkan banyak kilang terpaksa ditutup.

“Namun, sebagai inisiatif untuk mengelak pengangguran, kerajaan negeri telah mengambil langkah awal dengan mengadakan program-program khusus kepada pelajar lepasan IPTA/S seperti Latihan Sambil Bekerja dan kami juga berusaha untuk menambah lagi pekerjaan dalam pelbagai sektor kepada mereka,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurut Razif, konsep yang digunakan ialah keperluan pendidikan seimbang dengan keperluan sumber manusia dan bagi merealisasikan konsep berkenaan, pihak mereka akan mengadakan program-program yang bersesuaian dengan permintaan pekerjaan di pasaran.

Sehubungan itu, katanya, program ‘Job Fair’ akan diadakan di Kuala Terengganu bagi memberi peluang kepada orang ramai untuk mencari pekerjaan terutama bagi mereka yang menganggur yang berpeluang menjalani temu duga terbuka.

“Saya turut sarankan kepada mereka yang masih lagi tidak mendapat pekerjaan supaya mempelajari ilmu kemahiran yang banyak disediakan di IPTA/S di Terengganu dan ini memberi kelebihan kepada mereka ketika memohon sesuatu pekerjaan kelak.

“Kemahiran yang diambil juga perlulah berkaitan dengan permintaan pekerjaan yang ditawarkan di pasaran dan seterusnya memberi peluang kepada mereka untuk bersaing hingga ke peringkat antarabangsa,” katanya.

No comments:

Post a Comment