Thursday, March 12, 2009

Timur: Syarikat kurier cuai diarah bayar RM1,800

KUALA TERENGGANU: Mahkamah Tribunal Pengguna semalam mengarahkan sebuah syarikat kurier membayar ganti rugi sebanyak RM1,800 kepada seorang pelanggan kerana menghilangkan sebuah kotak berisi pelbagai barangan penting.

Presiden Tribunal, Rahazlan Affandi Abdul Rahim mengarahkan Skynet Worldwide (M) Sdn Bhd, membayar ganti rugi berkenaan kepada Juhaswani Jaafar, 23 selepas dia mendakwa kotak berisi barang bernilai RM4,450 yang dihantar melalui syarikat itu tidak sampai kepada penerima iaitu abangnya di Sarawak.

Dia yang bekerja di Jabatan Perangkaan negeri, berkata kotak berkenaan dihantar pada 13 Januari tahun lalu, mengandungi komputer riba jenama HP, kain songket, beberapa helai pakaian dan produk makanan.


Bagaimanapun, selepas seminggu dia dimaklumkan bahawa barang berkenaan masih tidak diterima oleh abangnya yang sedang mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baru Bintulu, Sarawak.

"Selepas dihubungi, saya terus pergi ke Skynet Jalan Pejabat untuk mendapatkan penjelasan, tetapi mereka mendakwa barang berkenaan sudah diambil oleh seorang lelaki Cina," katanya ketika perbicaraan.

Ketika membacakan keputusan, Rahazlan berkata, memang berlaku kecuaian oleh syarikat kurier berhubung kes berkenaan sehingga menyebabkan kotak berkenaan hilang.

"Seperti yang tercatat pada resit ini, kotak berkenaan adalah seberat 10.8 kilogram, membuktikan kemungkinan terdapat barang seperti yang didakwa oleh penuntut.

"Bagaimanapun, penuntut tidak mempunyai bukti kukuh seperti senarai barang bagi membuktikan barang yang didakwa penuntut terdapat di dalamnya.

Selain itu, beliau juga menolak permohonan Skynet untuk membayar ganti rugi sebanyak RM300 kepada pelanggan seperti yang terkandung dalam syarat yang ditetapkan oleh syarikat.

"Saya tidak boleh menerima permohonan ini kerana ia tidak adil kepada pengguna. Justeru, mahkamah mempunyai kuasa untuk mengubah syarat dan kandungan yang ditetapkan oleh syarikat sekiranya berlaku hal seperti ini," katanya.

No comments:

Post a Comment