Sunday, January 4, 2009

Dua jalan baru di Wakaf Mempelam

KUALA TERENGGANU 3 Jan. - Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah meluluskan peruntukan segera sebanyak RM200,000 hari ini untuk pembinaan dua batang jalan kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam di sini.

Menterinya, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib berkata, projek tersebut perlu dalam usaha meningkatkan kemudahan infrastruktur di kawasan berkenaan.

Menurutnya, pembinaan dua batang jalan itu oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) akan dilaksanakan secepat mungkin.

''Setakat ini, dua projek pembinaan jalan kampung telah diluluskan dengan peruntukan segera kira-kira RM200,000 dan beberapa lagi projek lain sedang dipertimbangkan," katanya ketika ditemui semasa melawat kawasan projek berkenaan di Kampung Padang Sena di sini hari ini.

Beliau berkata, jalan kampung yang akan dibina itu sepanjang kira-kira 300 meter dengan keluasan kira-kira 4.26 meter di tepi pagar Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Rengas Bekah di Kampung Padang Sena.

Menurutnya, jalan baru itu dibina untuk menyenangkan anak- anak di kampung itu pergi dan balik dari sekolah.

''Jalan ini dibina lebih luas berbanding jalan kampung lain bagi membolehkan dua buah kenderaan melaluinya,'' ujarnya.

Jelasnya, sebuah lagi jalan kampung yang akan dibina adalah sepanjang 300 meter di tepi batas tali air Kampung Padang Sena.

''Pembinaan jalan baru ini melibatkan dua laluan iaitu di sebelah kiri dan kanan tali air untuk memudahkan laluan penduduk Kampung Padang Sena,'' katanya.

Beliau memberitahu, kerajaan sedang memantau beberapa lagi projek pembinaan jalan di DUN Wakaf Mempelam.

''Beberapa projek telah dikenal pasti dan kementerian sedang menunggu penilaian JKR untuk kelulusan peruntukan,'' jelasnya.

DUN Wakaf Mempelam dikuasai Pas menerusi wakil rakyatnya, Mohd. Abdul Wahid Endut yang juga calon parti itu bagi pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, 17 Januari ini.

No comments:

Post a Comment