Friday, January 2, 2009

RM50j majukan K.Terengganu

ARKIB : 02/01/2009

RM50j majukan K.Terengganu

KUALA TERENGGANU 1 Jan. - Kerajaan Terengganu memperuntukkan RM50 juta untuk menyediakan pelbagai kemudahan kepada penduduk bandar raya Kuala Terengganu sepanjang tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, angka tersebut tidak termasuk peruntukan yang disediakan oleh pelbagai agensi dan kerajaan Pusat untuk melaksanakan projek masing-masing.

''Saya yakin bandar raya ini akan lebih cemerlang dan maju dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

''Kerajaan negeri akan meningkatkan kemudahan dari semasa ke semasa berdasarkan kemampuan kewangan yang ada," ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Mengenai Bandar Raya Kuala Terengganu sempena ulang tahun pertama Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di sini hari ini.

Dengan pelbagai kemudahan yang disediakan nanti, Ahmad mahu semua warga bandar raya Kuala Terengganu menekankan aspek kebersihan dalam kehidupan mereka dengan meninggalkan tabiat buruk suka membuang sampah merata-rata.

Menurutnya, penekanan terhadap aspek kebersihan akan mewujudkan persekitaran yang selesa kepada penghuni bandar raya ini.

''Jika keadaan bersih dan selamat, pelancong pun suka datang ke sini," ujarnya.

Ahmad turut meminta warga bandar raya ini supaya menunaikan tanggungjawab mereka membayar cukai pintu serta cukai lain yang dikenakan bagi membantu usaha kerajaan membangunkan bandar raya ini supaya menjadi lebih ceria dan tersusun.

Beliau berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan oleh Datuk Bandar Kuala Terengganu, Datuk Mat Razali Kassim sepanjang menerajui MBKT dalam tempoh setahun lepas.

''Adalah diharapkan beliau terus bekerja dengan lebih gigih bagi memastikan Kuala Terengganu terus cemerlang.

''Yang penting beliau (Razali) mampu menjalankan tugas dengan baik, sebab itu beliau dikekalkan di MBKT," ujarnya.

No comments:

Post a Comment