BESUT - Para peneroka di Felda Tenang dekat sini tidak dapat tidur lena sejak 2007 bukan disebabkan turun naiknya harga komoditi kelapa sawit tetapi ancaman dari hutan yang bersempadan dengan ladang mereka.
Apabila menjelang waktu malam, gerombolan anjing hutan mula bergerak memasuki ladang itu dengan sasarannya ialah ternakan lembu milik peneroka.
Peneroka ada sebab untuk bimbang memandangkan pada 2007 sahaja, sebanyak 100 ekor lembu mereka telah dibaham oleh anjing hutan, diikuti dengan 80 ekor tahun lalu manakala dalam tempoh empat bulan tahun ini, ternakan yang dilaporkan mati diserang ialah 50 ekor.
Tidak cukup dengan itu, ada laporan kononnya haiwan tersebut keluar berkeliaran waktu siang untuk mengejar peneroka yang masuk ke dalam ladang untuk memungut buah kelapa sawit.
Setakat ini tidak diketahui jumlah anjing hutan di kawasan tersebut tetapi ada penduduk yakin ia mencecah 100 ekor dengan kumpulan itu memburu pada waktu malam sehingga subuh.
Seorang peneroka, Zakaria Mat Noor, 43, mendakwa kerugian kira-kira RM8,000 selepas 15 ekor lembu peliharaannya dibaham anjing hutan sejak awal tahun ini.
Berdasarkan pemerhatiannya, haiwan itu menyerang lembu secara berkumpulan dengan begitu ganas sehingga badan ternakan itu 'koyak-rabak' dimamah.
"Selepas menyerang lembu, anjing-anjing itu akan memakannya.
"Biasanya kami hanya sedar ada serangan bila terjumpa bangkai lembu di ladang kelapa sawit," katanya di sini semalam.
Menurutnya, masalah itu telah dimaklumkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) namun sehingga kini tiada langkah susulan diambil.
No comments:
Post a Comment